Oleh: Muhd Ibrahim bin Muhamad Damanhuri & Adibah binti Abu Bakar
Rawang, 25 September 2024 – Sekumpulan pelajar daripada Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima jemputan menyertai Karnival STEM peringkat daerah Hulu Selangor yang dianjurkan oleh SMK Bukit Sentosa, Rawang, hari ini.
Program ini diadakan dengan matlamat untuk meningkatkan minat pelajar sekolah menengah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Penyertaan daripada UPSI melibatkan empat orang pelajar diploma sains yang diiringi oleh seorang pensyarah, bertindak sebagai mentor dan pengiring sepanjang acara tersebut.
Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab komuniti, pelajar UPSI bukan sahaja menyertai karnival ini tetapi juga menyumbang secara aktif sebagai pempamer. Pameran mereka menarik perhatian pelajar dan guru-guru sekolah dengan demonstrasi interaktif. Pameran tersebut juga memberi inspirasi kepada pelajar sekolah menengah untuk mendalami bidang STEM dan membuka peluang untuk kerjasama antara UPSI dan sekolah dalam memperkasakan pendidikan komuniti.
Dengan penyertaan ini, pelajar UPSI bukan sahaja menunjukkan kemahiran akademik dan praktikal mereka, tetapi juga memperkukuh peranan universiti sebagai agen perubahan dalam masyarakat. Usaha ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar sekolah untuk terlibat dalam bidang STEM, serta mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti setempat. Program seperti ini mencerminkan komitmen UPSI dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berbakti kepada masyarakat melalui inisiatif yang berimpak tinggi.