Oleh: Nor Iman Haritz bin Nor Haz Alazhim
Tanjong Malim, 28 September 2024 – Hari yang dinantikan oleh para pelajar di seluruh negara akhirnya tiba. Untuk digelar Anak Kandung Suluh Budiman semestinya merupakan satu impian bagi anak muda yang ingin menuntut ilmu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Perasaan sedih dan gembira yang terukir di muka ahli keluarga yang tercinta bagi para pelajar yang bakal digelar penghuni Kolej Awang Had Salleh (KAHS) seawal jam 8:30 pagi. Seramai 438 penghuni mendaftarkan dirinya di Dewan Tuanku Canselor sebelum ke Kolej dan disambut oleh Majlis Mahasiswa Kolej sesi 2024/2025.
Para pelajar yang diterima ke KAHS berasal daripada pelbagai latar belakang dan negeri di seluruh Malaysia. Kehadiran mereka di kampus yang indah ini menandakan permulaan perjalanan akademik yang mencabar namun dipenuhi dengan peluang. Program pengajian yang ditawarkan oleh UPSI adalah antara yang terbaik di negara ini, terutamanya dalam bidang pendidikan, teknologi, dan sains sosial, dan menjadi tarikan utama pelajar ke universiti ini.
Pengetua KAHS, Dr. Mardiana Ismail, turut hadir menyantuni ibu bapa dan pelajar baharu sepanjang proses pendaftaran. Dalam ucapannya yang ringkas, Dr. Mardiana menekankan kepentingan untuk menghargai peluang yang diberikan kepada pelajar. Beliau mengingatkan para pelajar bahawa pelajar mempunyai peluang untuk belajar perkara yang baharu di kolej. “Setiap hari di Kolej Awang Had Salleh adalah peluang untuk belajar sesuatu yang baru. Manfaatkan setiap saat!” ujar Dr Mardiana dalam ucapannya.
Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (KAHS) juga turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran proses pendaftaran pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda bagi sesi pengajian 2024/2025. Melalui pelbagai inisiatif dan usaha gigih, ahli-ahli majlis ini berjaya membantu 438 orang pelajar baharu menjalani pengalaman pendaftaran yang lebih teratur dan selesa.
Pada hari pendaftaran, Majlis Mahasiswa KAHS telah berada di setiap lokasi strategik di sekitar kolej untuk menyambut kehadiran pelajar baharu. Kehadiran mereka di pintu masuk kolej, lobi asrama, dan dewan pendaftaran memberikan suasana mesra dan membantu mengurangkan kebimbangan pelajar yang baru pertama kali menjejakkan kaki di universiti.
Ahli majlis turut menyediakan bantuan fizikal, seperti membantu pelajar mengangkat barang-barang ke bilik asrama, menyediakan panduan arah, serta menjawab sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan proses pendaftaran dan kehidupan di kampus. Usaha ini membuat pelajar dan ibu bapa yang hadir merasa dihargai dan mendapat perhatian yang sewajarnya.
Kehadiran ibu bapa yang menemani anak-anak mereka sepanjang proses pendaftaran menambah lagi suasana mesra dan penuh harapan di KAHS. Pihak pengurusan kolej menerima pujian atas usaha mereka memastikan segala urusan berjalan lancar dan teratur.
Dengan semangat dan sokongan yang ditunjukkan oleh semua pihak, diharapkan para pelajar baharu ini dapat menyesuaikan diri di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan mencintai kehidupan baharunya di Kolej Awang Had Salleh. Selamat berjaya dan semoga menikmati pengalaman indah sepanjang berada di sini!