Oleh: Nurul Fadzillah Sapengin
Ipoh, 2 Oktober 2024 – UPSI merangkul dua anugerah dalam Pertandingan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Horizon Baharu (KIK HB) Peringkat Negeri Perak 2024 pada majlis yang diadakan di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh.
Kumpulan i-Ray merangkul tempat ketiga Anugerah Bidang Sosial Kategori Terbuka dan Anugerah Poster Terbaik Kategori Terbuka. Kemenangan itu telah melayakkan kumpulan i-Ray daripada Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi, UPSI menerima hadiah wang tunai RM 5,000.00 beserta sijil dan piala iringan.
Kumpulan yang dianggotai oleh tujuh (7) orang ahli ini mengetengahkan aplikasi ‘Quick And Response Integrated System (MYQRIS)-Geo Attendance’ iaitu sistem aplikasi yang dibangunkan berasaskan ‘geolocation’ untuk merekod dan memproses data kehadiran kakitangan ke program universiti dengan lebih efisien.
Inovasi ini telah direplikasi penggunaanya kepada kehadiran ke pejabat, mesyuarat dan rekod kemasukan ke premis untuk kegunaan staf dan pelajar di UPSI serta mendapat permintaan daripada pihak luar.
Kesemua hadiah tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, serta Ahli Pasukan I-Ray.
Menteri Besar Perak dalam ucapannya menyatakan, ‘ Inovasi bukan pilihan, tapi keperluan dalam sektor awam bagi memastikan kerajaan kekal relevan, efisyen dan menepati kehendak rakyat yg semakin kompleks.
Tanpa inovasi, kita akan hilang keupayaan memenuhi keperluan rakyat, tidak kompetetif dalam menarik pelabur ekonomi dalam usaha menaikkan taraf hidup rakyat’.
Sebanyak 10 anugerah diperkenalkan sempena Majlis Anugerah KIK Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 bagi kedua-dua Bidang iaitu Bidang Inovasi Sosial dan Bidang Inovasi Penyampaian Perkhidmatan melibatkan dua kategori berasingan iaitu penciptaan atau penambahbaikan.
Pasukan i-Ray dianggotai oleh Ts. Abdul Mueiz Rosli, Encik Mohammad Firdaus Zainun, Puan Norhayaty Abdul Rahaman, Puan Suhaila Abusairi, Encik Prabu a/l Tharmalingam, Encik Khairul Ikmal Ishak, Cik Nur Syafinaz Azmi.
Selain pasukan I-Ray, UPSI turut mengetengahkan Kumpulan PlanTech daripada Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) UPSI dengan Projek KIK bertajuk ‘IoT Smart Farming i-Melon’ iaitu projek yang menggabungkan aplikasi ‘Internet of Things dan Artificial Intelligence (AI)’ yang membantu pengusaha tanaman dalam penentuan tempoh sesuai penuaian buah melon berdasarkan analisis AI terhadap suhu pH, kelembapan media, kepekatan gas etilena dan padanan imej kamera.
Kedua-dua pasukan KIK UPSI ini dibimbing oleh Penyelaras KIK UPSI iaitu Nurul Fadzillah Sapengin serta Mentor KIK UPSI iaitu Encik Mohd Hizam Samin, Encik Mohd Razalli Ahmad Termizi dan Ts. Eimiza Faisha Azmi.
Penyelaras KIK UPSI berkata bahawa Bahagian Pengurusan Kualiti (BPQ), UPSI komited dalam agenda inovasi menerusi KIK serta percaya ianya merupakan langkah terbaik dalam penghasilan peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan sektor awam dalam memastikan ia terus relevan dalam memenuhi kehendak rakyat.
Justeru, BPQ UPSI telah membangunkan pasukan Mentor KIK bagi memberi sokongan serta khidmat nasihat dalam memastikan pasukan KIK UPSI mendapat bimbingan serta ‘coaching’ berterusan daripada Pakar KIK bagi memastikan kelangsungan seterusnya keberhasilan projek yang berimpak tinggi.
