Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim, 2 Oktober 2024 – Excelerate memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi melaksanakan Program Pembangunan K-Youth yang disasarkan kepada pelajar UPSI.

Pengerusi Excelerate, YAM Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz berkata perjanjian persefahaman ini merupakan suatu penghormatan besar kepada pihak Excelerate bagi menjalankan program ini untuk tahun ke-4 berturut-turut.

Sesi memeterai MoU bersama Excelerate dengan UPSI

“Inisiatif Program Pembangunan K-Youth ini merupakan usaha utama Khazanah Nasional bagi meningkatkan kebolehpasaran belia di Malaysia.

“Buat pertama kalinya, Excelerate bekerjasama secara ekslusif dengan UPSI untuk menyampaikan Program Pembangunan K-Youth yang disasarkan kepada 550 pelajar UPSI di Tahun 2.

Jelasnya, program ini direka bentuk kepada pelajar UPSI untuk memberi tumpuan kepada tiga bidang penting bagi sektor ekonomi digital pada masa kini iaitu pemasaran digital, analisis data dan pengalaman pengguna.

YAM Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz (kiri) semasa memberi ucapan

“Melalui program ini, pelajar UPSI berupaya melengkapkan diri mereka dengan kemahiran digital yang penting untuk meningkatkan prospek pekerjaan mereka dan menyediakan mereka untuk menghadapi cabara masa depan.

“Pelajar juga akan menerima panduan tentang strategi pencarian kerja dan mempunyai akses kepada sistem sokongan yang mantap, terdiri daripada webinar ekslusif, bengkel dan sambungan ke rangkaian Rakan Bakat Excelerate,” tambah beliau.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata UPSI menyambut baik hasrat kerjsama ini bagi memupuk modal insan kepada pelajar yang bukan sahaja memenuhi tetapi melebihi jangkaan industri sekaligus menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Ucapan aluan daripada Prof Datuk Dr. Md Amin

Menurut beliau, faktor isu pengangguran graduan masa kini disebabkan oleh jurang dalam kemahiran yang berkaitan dan kemajuan teknologi yang menghalang graduan baharu ini daripada mendapatkan pekerjaan.

“Bagi mendepani cabaran ini, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan UPSI (EDGE) dengan kerjasama sepuluh fakulti disini komited untuk mengenal pasti dan mewujudkan peluang untuk pelajar UPSI bagi memperoleh kemahiran dan pengalaman yang diminati oleh pihak industri.

“Melalui usaha sama dengan Excelerate membolehkan kami menawarkan latihan terkini yang selaras dengan misi kami untuk memupuk kecemerlangan akademik dan inovasi dalam pendidikan.

Jelasnya , kerjasama ini merupakan langkah penting ke hadapan dalam komitmen berterusan UPSI untuk menyediakan pendidik dengan keperluan yang mereka perlukan untuk berjaya dalam persekitaran pendidikan yang berubah dengan pantas.

“Kerjasama bersama pihak Excelerate mencerminkan komitmen kami untuk menghasilkan pendidik yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga mampu menyesuaikan diri dan mahir dalam landskap digital.

“Program ini pastinya berupaya meningkatkan kebolehpasaran graduan UPSI sekaligus meningkatkan kualiti pendidikan di seluruh Malaysia,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Delegasi UPSI, Excelerate dan Khazanah Nasional Berhad semasa sesi memeterai MoU

Turut hadir sama menyaksikan perjanjian persefahaman yang bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI ini, Ketua Pegawai Eksekutif Excelerate, Mr Andrew Pereira; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr. Norkhalid Salimin; Pendaftar UPSI, En. Helmi Zaifura Abdul Rahman; Pengarah Pengurus Modal Insan Strategik Khazanah Nasional Berhad, En. Muhammad Razip Mohammad Zin; Pengarah EDGE UPSI, Prof Madya Dr. Sharul Effendy Janudin.