Oleh: Shahaniza Shamsuddin
Tanjong Malim, 29 September 2024 – Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) baru-baru ini telah menganjurkan Kursus Literasi Kaedah Gabung Bunyi Kata (KGBK) kepada pendidik dan pembantu pendidik sebagai usaha memperkasakan kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak. Kursus ini telah dikendalikan oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak Haron, seorang tokoh pendidikan yang berwibawa dan berpengalaman luas dalam bidang pendidikan.
Kursus KGBK yang diadakan di UPSI ini memberi fokus kepada kaedah inovatif gabungan bunyi huruf dan kata, di mana para pendidik dilatih menggunakan pendekatan fonetik untuk membantu murid mengenal huruf, bunyi, dan perkataan secara lebih efektif. Menurut Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak, kaedah ini dapat mempercepatkan pembelajaran membaca, terutamanya bagi murid yang menghadapi kesukaran dalam literasi awal. “KGBK bukan sekadar memudahkan murid membaca, tetapi juga merangsang perkembangan kognitif mereka melalui pendekatan yang sistematik dan menyeronokkan,” katanya.


Seramai 26 orang guru telah menyertai program ini yang terdiri daripada pendidik dan pembantu pendidik di TASKA/TADIKA NCDRC. Kursus literasi ini juga melibatkan sesi praktikal yang menggalakkan penggunaan teknik interaktif seperti lagu dan permainan dalam pengajaran suku kata, menjadikan pembelajaran lebih menarik dan mudah difahami. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak menegaskan pentingnya pendekatan ini untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan terutamanya kepada kanak-kanak awal usia.

Menurut salah seorang peserta, Dr. Syazwani Aniyah Manja, “Kehadiran Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak Haron dalam kursus ini memberi inspirasi kepada kami sebagai pendidik. Kaedah KGBK yang beliau kongsikan benar-benar memudahkan pengajaran suku kata dan membantu murid lebih fokus.”
Naziroh Romli pula berkata “Kaedah Gabung Bunyi Kata (KGBK) yang diperkenalkan dalam kursus ini sangat berkesan. Teknik latih tubi yang diajar juga sangat interaktif dan mudah diaplikasikan dalam kelas.”