Oleh: ChM Dr Yuhanis Mhd Bakri

Shah Alam, 1 Oktober 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memenangi dua anugerah menerusi dua kategori berbeza dalam Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI).

Ini merupakan kali pertama UPSI menerima anugerah tersebut iaitu pada tahun ke-5 penganjuran. Lebih gemilang, UPSI antara tiga Universiti di Malaysia yang menerima dua anugerah pada tahun ini selain Taylors University dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Majlis yang diadakan di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor telah disampaikan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.

Anugerah tersebut dirangkul oleh Dr. Hamidah Idris daripada Fakulti Sains dan Matematik sebagai Naib Johan dalam Kategori Pengajaran Transformatif menerusi inovasi “Unifying PSI: Learn-Create-Deliver for Educators” dengan membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM5000.00.

Beliau turut dibantu oleh Dr Mohamad Termizi Borhan dan En Norfaizi Othman daripada fakulti sama dan Pn Noraida Othman, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), UPSI.

Manakala, dalam Kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Teradun), AKRI dimenangi oleh Dr. Laili Farhana Md Ibharim daripada Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi dengan Tempat Ketiga bagi inovasi “GameBIZ Challenge: Pendekatan Inovatif Pembelajaran Berasaskan Cabaran untuk Keusahawanan Permainan”. Beliau membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM3000.00.

Selain itu, UPSI juga merupakan finalis bagi Kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Maya) melalui Ts Dr Chee Ken Nee Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi dengan inovasi beliau, “Virtual Reality Teaching Training”.

AKRI2024 menyaksikan enam kategori dipertandingkan iaitu Kurikulum Program Pengajian Inovatif, Pengajaran Transformatif, Pentaksiran Alternatif, Pengalaman Pembelajaran Imersif (Maya), Pengalaman Pembelajaran Imersif Teradun (Blended) dan Pengalaman Pembelajaran Imersif Bersemuka.

Pada tahun 2024, format permohonan AKRI adalah berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya iaitu setiap universiti hanya dibenarkan menghantar satu pencalonan bagi setiap kategori.

Majlis AKRI pada tahun ini turut diraikan bersama dengan Perasmian Sambutan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2024.