Oleh: Jessalyn Nuwie Jenny

Tanjong Malim, 10 Oktober 2024 – Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi menyaksikan program akademik berprestij apabila Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) menganjurkan Global STEM Youth Mind Quest bersempena Muallim International Science, Technology, Innovation, Mathematics, and Sustainable Fiesta 2024 (MIST’24).

Program kuiz yang mendapat sambutan hangat ini menjadi medan penting bagi mahasiswa untuk menguji kecerdasan intelektual dan ketajaman pemahaman mereka dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Peserta semasa sesi taklimat ringkas daripada pihak penganjur

Program ini menggunakan format kuiz bersemuka yang dinamik, di mana para peserta menjawab soalan melalui platform Quizziz dengan kesemua soalan dipaparkan di skrin pentas utama.

Kuiz yang berlangsung selama satu jam ini mengandungi 40 soalan merentas lima elemen utama STEM. Setiap elemen menawarkan tiga tahap kesukaran yang berbeza – senang, sederhana, dan sukar – sekaligus memberikan cabaran intelektual yang menyeluruh kepada peserta.

Peserta semasa menjawab kuiz

Persiapan bagi kuiz ini dimulai dengan proses penyediaan soalan yang dikendalikan oleh unit aktiviti program, yang telah mengatur soalannya dengan teliti berdasarkan kandungan ilmiah yang relevan dan terkini.

Soalan-soalan tersebut kemudiannya disemak dan ditaksir oleh panel pentaksir, yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah UPSI yang berpengalaman luas.

Barisan pensyarah turut hadir bagi memberi sokongan

Pendekatan ini memastikan setiap soalan yang diajukan mencapai standard akademik tertinggi, menjadikan program ini sebuah pentas pertarungan intelektual yang mencabar.

Pertandingan ini menyaksikan persaingan sengit antara peserta yang bertanding secara individu, disaksikan oleh pelajar-pelajar UPSI dan ahli akademik.

Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Sains dan Matematik, Dr. Mohd Ikhwan Yaacob; Pengarah Program Utama MIST’24, ChM. Dr. Siti Nur Akmar Mohd Yazid; Encik Zahid Mat Said dan ChM. Dr. Mohamad Idris Saidin selaku penasihat Persatuan Mahasiswa Sains, UPSI.

Kesungguhan para peserta dapat dilihat apabila sepanjang program ini, dan mereka menerima sorakan gemuruh daripada hadirin yang hadir untuk menyaksikan kehebatan mahasiswa UPSI dalam menguasai pelbagai cabang ilmu.

Situasi semasa sesi kuiz berlangsung

Program MIST’24: Global STEM Youth Mind Quest ini telah memberi impak yang mendalam kepada para peserta dan penonton. Ramai yang memberikan maklum balas positif, menyatakan bahawa program ini berjaya membuka ruang kepada mahasiswa untuk mendalami ilmu STEM dengan lebih interaktif.

Siti Salihah, salah seorang peserta menyatakan, “Program ini sangat terbaik dan memberi impak besar. Saya harap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.”

Penonton yang hadir juga berharap agar lebih banyak program seperti ini dianjurkan di masa hadapan. Seorang pennton iaitu Safuan Salleh menyatakan, “Program seperti ini wajar diperbanyakkan lagi untuk memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM serta meningkatkan daya saing dalam kalangan mahasiswa.”                                                                                                                                                                          

Secara keseluruhannya, penganjuran Global STEM Youth Mind Quest bukan sahaja berjaya menguji keupayaan akademik mahasiswa, malah memperkukuh minat mereka terhadap bidang STEM.

Dengan sokongan pihak universiti serta kerjasama padu daripada semua yang terlibat, program ini diharapkan dapat dijadikan platform tahunan untuk terus mencetus inspirasi dan mencungkil bakat mahasiswa dalam menerajui bidang sains dan teknologi pada masa hadapan.