Oleh: Bazli Razak
Tanjong Malim, 5 November 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh usaha dalam meningkatkan lagi kecemerlangan akademik dan pengiktirafan universiti di peringkat antarabangsa menerusi jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi luar negara.
Terbaru, UPSI menerima kunjungan delegasi dari Xi’an University, China, sebagai satu inisiatif bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama dan komitmen terhadap kecemerlangan akademik dan pemahaman silang budaya.
Kunjungan delegasi yang diketuai oleh Presiden Xi’an University, Profesor Dr. Chen Gang dan disertai oleh disambut oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Dr. Abdul Rahim Razalli; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof Dr. Suriani Abu Bakar; Bendahari UPSI, En. Mohamad Najib Mohameddalam satu pertemuan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI hari ini.
Turut serta dalam delegasi dari Xi’an University, Timbalan Pengarah Pejabat Hal Ehwal Akademik, Profesor Dr. Fu Hongbing; Timbalan Dekan Pusat Pengajian Seni, Profesor Dr. Dong Hongjie dan pegawai Pejabat Pengambilan Pelajar, Mr. Ding Ding, Mr. Mao Yadong, Ms. Qin Jing.
Menurut Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, UPSI berhasrat untuk meneroka peluang kolaborasi bersama Xi’an University, China dalam meningkatkan lagi tahap kecemerlangan akademik mahasiswa UPSI serta memperkasakan pemahaman silang budaya.
Jelasnya, lawatan delegasi UPSI ke Xi’an University, China pada 27 hingga 30 Oktober yang lalu merupakan peristiwa penting bagi pihak UPSI dalam meningkatkan jalinan kerjasama di antara kedua-dua belah pihak.
“Menerusi memorandum perjanjian (MoA) yang telah ditandangani dahulu membuktikan bahawa UPSI komited bagi mengorak langkah lebih jauh bagi merealisasikan penubuhan Pusat Perkhidmatan dan Pembelajaran Pelajar UPSI-China di Xi’an.
Ujarnya, melalui MoA tersebut, UPSI berharap agar dapat meneroka lebih banyak peluang kerjasama, meningkatkan peluang proses pertukaran pelajar serta meningkatkan projek penyelidikan kolaboratif yang bakal memberi manfaat kepada komuniti.
“UPSI menghargai sumbangan dan sokongan dari pihak Xi’an University melalui bimbingan, semangat serta kerjasama yang tidak berbelah bahagi kepada pihak UPSI bagi merialisasikan inisiatif ini,” ujar beliau.