Gambar Komet C/2023 A3 (Tsuchinshan-ATLAS) dengan latar belakang Blok 4 & 5 Kampus Sultan Azlan Shah.Gambar Komet C/2023 A3 (Tsuchinshan-ATLAS) dengan latar belakang Blok 4 & 5 Kampus Sultan Azlan Shah.

oleh: Dr. Mohd Faudzi Umar

Tanjong Malim, 4 November 2024 – Fakulti Sains dan Matematik melalui Jabatan Fizik dan Kelab Rakan Astronomi (RASTRO) mengadakan aktiviti mencerap Komet C/2023 A3 (Tsuchinshan–ATLAS) di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sepanjang tiga minggu kemunculannya.

Walaupun cuaca mendung dan hujan di sekitar Tanjong Malim sedikit menjejaskan pencerapan, beberapa gambar komet tetap berjaya dirakam pada malam tertentu yang cerah.

Gambar Komet C/2023 A3 (Tsuchinshan-ATLAS) dengan latar belakang Blok 4 & 5 Kampus Sultan Azlan Shah.

Komet C/2023 A3 (Tsuchinshan-ATLAS) telah mencuri perhatian komuniti astronomi antarabangsa kerana dapat dilihat dengan mata kasar sejak awal Oktober lalu, di mana ia berada pada jarak kira-kira 58 juta kilometer dari Bumi sewaktu melintasi perihelion, iaitu titik terdekat orbit Bumi dengan matahari.

Ditemui pada 9 Januari 2023 oleh Purple Mountain Observatory, China; Tsuchinshan (紫金山) dalam Mandarin bermaksud Gunung Ungu, “Purple Mountain”.

Kemudian dicerap oleh Asteroid Terrestrial-impact Last Alert System (ATLAS) di Afrika Selatan pada 22 September 2023. Komet ini dikatakan berasal dari Awan Oort—kawasan berais di pinggir Sistem Suria kita.

Pasukan pencerap Jabatan Fizik

Memiliki orbit panjang yang mengambil masa sekitar 80,000 tahun untuk melengkapkan satu pusingan, komet ini merupakan fenomena unik yang jarang berlaku dan hanya akan muncul semula ribuan tahun lagi. Aktiviti pencerapan dijalankan oleh pasukan yang terdiri daripada En. Wan Zul Adli Wan Mokhtar, Dr. Afiq Radzwan, dan En. Mohd Faisal Mohd Yassin bersama pelajar-pelajar RASTRO.

Komet ini dapat dikesan dengan kamera ketika matahari mula tenggelam di kaki langit barat dan kelihatan lebih terang berbanding bintang-bintang malam.

Inisiatif ini adalah usaha Dekan Fakulti Sains dan Matematik, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah bagi memastikan UPSI turut sama terlibat dalam usaha komuniti astronomi mencerap fenomena luar biasa ini.

“Pelajar berpeluang merasai pengalaman pencerapan yang unik, menjadikan ilmu astronomi lebih nyata dan dekat dengan mereka,” katanya ketika ditemui.

Aktiviti pencerapan turut melibatkan pelajar-pelajar RASTRO

Aktiviti cerapan jangkamasa panjang sebegini turut memberikan pengalaman sebenar kepada pelajar yang mana ianya memerlukan perancangan, kesabaran, kekuatan mental serta ketahanan fizikal dalam menjayakan misi.

Pembelajaran melalui pengalaman sebegini adalah selari dengan komitmen FSM dan UPSI dalam melahirkan barisan pelajar yang holistik dan inklusif serta berdaya saing dalam menyelesaikan masalah berkaitan STEM.