Oleh: Nadia Shahira Amiruddin

Kuala Terengganu, 21 Oktober 2024 – Pertandingan inovasi di peringkat institusi dan kebangsaan semakin popular, dan baru-baru ini seramai 34 orang pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAKK) UPSI, semester satu memenangi anugerah dalam pertandingan inovasi peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu dengan bertemakan ‘Membudayakan Inovasi, Mentransformasi Institusi’.

Pelajar-pelajar  memenangi lima “Silver Award” dan tiga “Bronze Award”. Bagi pelajar ini, pertandingan ini bukan sekadar peluang untuk menonjolkan idea kreatif, tetapi juga sebagai platform untuk mempersembahkan produk yang telah dihasilkan bagi membantu menyelesaikan masalah dalam pengajaran dan pembelajaran.

Dengan inovasi sebagai tonggak utama, pelajar-pelajar ini berpeluang mempamerkan kebolehan mereka dalam bidang teknologi, sains, dan keusahawanan.

Pertandingan ini memberi peluang kepada pelajar untuk merancang, membangunkan, bekerja secara kolaboratif dalam pasukan, dan mempersembahkan produk inovatif mereka kepada panel juri dan masyarakat umum.

Pensyarah pembimbing pelajar-pelajar ini, Nadia Shahira Amiruddin menyatakan bahawa penyertaan dalam pertandingan inovasi memberi impak yang besar kepada pengetahuan dan kemahiran pelajar.

Hal ini dapat membantu pelajar mengembangkan pemikiran kritis dan kreatif dalam mencari penyelesaian terhadap masalah yang wujud dan juga pelajar dapat mempelajari kemahiran teknikal yang relevan dengan bidang mereka, seperti pengaturcaraan, reka bentuk produk, atau teknik eksperimen saintifik.

Melalui pengalaman ini, pelajar bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal tetapi juga kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerjasama, dan pengurusan masa.

Tambahan pula, pengalaman menyertai pertandingan ini mempersiapkan pelajar menghadapi cabaran di alam pekerjaan dengan lebih yakin dan berdaya saing.

Terdapat persepsi bahawa pelajar diploma kurang berpengalaman berbanding pelajar ijazah, namun, mereka sebenarnya sudah cukup matang untuk menyertai pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan.

Pelajar-pelajar ini walaupun berada di tahap pembelajaran yang lebih awal, namun mereka sering kali menunjukkan tahap kreativiti dan kebijaksanaan yang setanding dengan pelajar peringkat lebih tinggi.

Mereka juga dilatih untuk berfikir secara kritis dan inovatif sepanjang pengajian mereka, menjadikan mereka calon yang berpotensi untuk bersaing di peringkat tertinggi.

Secara keseluruhannya, penyertaan pelajar diploma dalam pertandingan inovasi membuka pintu kepada pembelajaran yang lebih dinamik dan praktikal.

Pertandingan ini tidak hanya menguji kebolehan pelajar dari segi teori, tetapi juga dari segi keupayaan untuk mencipta solusi inovatif yang relevan dengan keperluan semasa.