Oleh: Musa Jaafar
Tanjung Malim, 15 Oktober 2024 – Pusat Ulul Albab (PUA) UPSI menerima kehadiran delegasi Lawatan Penanda Aras Akademik : Pemantapan Kompetensi Pengajaran Pensyarah – Pensyarah Kolej Islam As Sofa, Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2024.
Lawatan ini bertujuan untuk mendapat pengalaman serta perkongsian ilmu kepada pensyarah-pensyarah muda mengenai pemantapan kompetensi pengajaran pensyarah dan seterusnya membuka ruang dan peluang untuk menyambung pengajian di UPSI.
Kesempatan berinteraksi, bertukar fikiran, berkongsi pandangan dan pengalaman bersama pengurusan Pusat Ulul Albab telah memberi input bermakna kepada pensyarah-pensyarah muda dan baharu Kolej As Sofa dalam meneroka dunia akademik yang mencabar dalam era pendidikan kini.
Delegasi Kolej As Sofa yang diketuai oleh Pn. Aisyah Jamilah Moh Shin, selaku Pengarah Akademik bersama 14 pensyarah telah dibawa melawat kedua-dua kampus UPSI dengan melihat kelestarian budaya akademik dan pembangunan sekitar kampus serta kelebihan UPSI dari segi infrastruktur bertaraf olimpik ditambah dengan suasana kampus hijau yang nyaman, udara yang bersih di bawah Banjaran TItiwangsa.
Taklimat lawatan telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh, di samping tayangan video korporat Pusat Ulul Albab .
Antaranya beliau menyentuh konsep Ulul Albab dalam pendidikan, sejarah Ulul Albab di Malaysia dan model Ulul Albab UPSI yang mengandungi tiga (3) elemen iaitu Quranik, menjadikan Al-Quran sebagai sumber ilmu dalam membentuk hati dan membina keperibadian , perwatakan dan jiwa yang positif.
Elemen Ensiklopedik memfokuskan dan mengasah bakat komunikasi, kepelbagaian ilmu dan kemahiran lain termasuk penguasaan bahasa asing.
Manakala elemen ketiga adalah Ijtihadik iaitu melahirkan generasi yang berkeupayaan berdepan dengan pelbagai cabaran di samping berfikiran kreatif dan inovatif.
Katanya lagi, kedua-dua pihak boleh mengembangkan dan meningkatkan kerjasama dalam konteks penerapan elemen QEI dalam pengajaran dan pembelajaran terhadap pelajar-pelajar Melayu Islam ke peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu, pihak kolej juga dipelawa untuk menghantar penyertaan program pencarian bakat IKON Ulul Albab dan pertandingan inovasi UA-ICE yang akan diadakan pada setiap tahun.
Kolej As Sofa merupakan kolej swasta yang mempunyai 150 pelajar dan tempoh pengajian mereka adalah selama dua (2) tahun.
Beliau berkata, lawatan ini adalah untuk melihat penggunaan konsep QEI dalam pengajaran dan pembelajan (PdP) dan melihat perkongsian amalan terbaik (best practices) di dalam PdP dan pembangunan sahsiah pelajar serta pelaksanaan aktiviti.
Pihak Kolej Islam As Sofa juga telah menyerahkan satu set kompilasi ensiklopedia tokoh hadis Mausuah Al-A’lamah Al-Muhaddith Al-Mutafannin kepada Pusat Ulul Albab.