Oleh: Najwa Nadri
Segari, Perak : Kolaborasi antara dua buah Universiti iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) berjaya menjalankan program Konservasi di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Segari baru-baru ini. Jalinan kerjasama antara kedua-dua buah universiti ini merupakan satu usaha bagi mengeratkan lagi hubungan antara pihak Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh dengan Residential College Commitee (RCC).Program konservasi ini dijalankan pada 2 November 2024 (Sabtu) dan melibatkan seramai 40 orang Mahasiswa UPSI dan 10 orang wakil dari RCC UniKL MIMET.
Aktiviti yang dijalankan ialah pembersihan kolam penyu. Sebelum aktiviti ini dijalankan, salah seorang pegawai di Pusat Konservasi itu menyampaikan taklimat ringkas berkenaan dengan spesis-spesis penyu. Menurutnya, terdapat 4 jenis penyu yang terdapat di Malaysia iaitu Penyu Belimbing (Leatherback Turtle), Penyu Sisik (Hawksbill Turtle), Penyu Lipas (Olive Turtle) dan Penyu Agar (Green Turtle). Namun begitu, Penyu Belimbing yang juga merupakan penyu yang terbesar sudah pupus di Malaysia akibat daripada perubahan ekosistem, pencemaran dan sebagainya. “Saya berharap agar kita semua dapat bekerjasama dalam membantu memulihara penyu kerana penyu merupakan khazanah dan aset negara yang kini sudah mencecah nilai jutaan ringgit bagi seekor penyu” kata Pegawai Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu.
Seramai 40 sukarelawan telah mengerah tenaga membersihkan dua buah kolam penyu yang terdapat di situ bagi memastikan kebersihan kolam penyu terjaga. Aktiviti ini bukan sahaja penting untuk kesejahteraan penyu, tetapi ia juga dapat memberi impak kepada sukarelawan dalam meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan penyu dan pentingnya menjaga kebersihan habitatnya demi kesejahteraan penyu pada masa akan datang. Melalui aktiviti ini, ianya bukan sahaja dapat menjaga kelestarian dan habitat penyu, namun dalam masa yang sama ia juga dapat meningkatkan kesedaran kepada sukarelawan bahawa setiap perkara yang kita lakukan itu dapat memberikan impak yang besar pada masa akan datang.