Oleh: Najwa Nadri

Kuala Sepetang, Perak : Kuala Sepetang perak merupakan sebuah desa pesisir yang terkenal dengan pemandangan laut yang indah serta tempat ini juga merupakan salah satu destinasi yang terbaik untuk menikmati keindahan alam semula jadi. Seramai 40 sukarelawan bagi program Sayangi Alam Kita tidak terlepas untuk ke destinasi ini bagi melihat keindahan dan seterusnya melakukan aktiviti penanaman pokok bakau.

Pada permulaan, sukarelawan ini berpeluang untuk menaiki bot menelusuri muara sungai Kuala Sepetang. Sepanjang perjalanan menaiki bot ini, sukarelawa dapat menerokai keindahan dan dalam masa yang sama dapat memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan di sepanjang lawatan muara sungai dan hutan bakau. Di sepanjang lawatan ini, sukarelawan berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat pelbagai jenis burung, ikan dan mamalia seperti memerang yang hidup di sekitar kawasan hutan bakau. Encik Khairul yang merupakan pemandu bot menerangkan berkenaan dengan ekosistem, latar belakang, kegunaan hutan paya bakau, kegiatan ekonomi penduduk sekitar Kuala Sepetang dan sejarah asal usul Kuala Sepetang. Menurut Encik Khairul, majoriti penduduk di sekitar itu menjalani kegiatan ekonomi berasaskan perikanan seperti bahan makanan laut dan turut menjadikan pokok bakau sebagai sumber pendapatan yang utama seperti menghasilkan arang.

Aktiviti seterusnya diteruskan pula dengan lawatan ke kilang arang. Arang kayu bakau yang dihasilkan di Kuala Sepetang merupakan salah satu arang yang mempunyai kualiti yang terbaik di dunia dan mendapat sambutan yang tinggi di pasaran luar negara seperti Jepun. Di situ Encik Jusri menerangkan berkenaan dengan proses menghasilkan arang kayu bakau. Menurut Encik Jusri, bukan mudah untuk menghasilkan arang daripada pokok bakau, pokok tersebut perlu berusia lebih dari 30 tahun dan perlu dipotong sepanjang 1.6meter dan diangkut menggunakan bot yang melalui muara sungai Kuala Sepetang.  Untuk proses pembakaran pokok bakau ini memakan masa selama 30 hari berturut-turut dimana 20 hari dibakar di gok menggunakan api yang besar dan kecil dan 10 hari penyejukan. Selesai sahaja proses pembakaran dan penyejukan, arang itu akan dipotong, dibungkus dan dieksport ke luar negara bagi kegunaan industri barangan keperluan harian, kosmetik dan sebagainya.

Seterusnya aktiviti pada hari terakhir dimulakan dengan iaitu penanaman dan penyemaian anak pokok bakau. Bagi proses penanaman anak pokok bakau, setiap sukarelawan dibekalkan dengan anak pokok bakau dan ianya perlu ditanam di kawasan yang telah ditanda dimana tanah kawasan itu meliputi tanah yang lembut.

Kemudian, bagi proses penyemaian anak pokok bakau, setiap sukarelawan dibekalkan satu anak pokok yang berlainan spesies dan mereka perlu mengisi tanah lumpur dalam poly bag dan tanamkan anak pokok dalam polybag tersebut. Seterusnya poly bag itu perlu diletakkan di tapak semaian mengikut kepada kategori spesies yang betul. Antara spesis yang disemai ialah pokok bakau minyak, bakau kurap, Avicennia, Soneratia, Rhizophora dan sebagainya.

Aktiviti yang terakhir iaitu menerokai hutan payau bakau. Sepanjang penerokaan hutan payau bakau yang berkeluasan 42,000 hektar, Encik Jusri telah menerangkan kepentingan pokok bakau kepada ekosistem pantai dalam melindungi kawasan pesisir daripada ombak dan arus yang kuat. Menurut Encik Jusri, Perak merupakan negeri ketiga terbesar di Malaysia yang mempunyai hutan paya bakau. “ air, angin, haiwan,manusia merupakan agen penyebaran anak pokok bakau” ujar Encik Abu, yang menyarankan agar sukarelawan dapat menjadi agen penyebaran anak pokok walau dimana berada bagi mempertahankan ekosistem sesuatu tumbuhan.

Majlis penutup disempurnakan oleh Pengetua Kolej Awang Had Salleh, Dr Mardiana binti Ismail dengan sesi penyerahan sijil, plak dan cenderhati dari pihak Kolej Awang Had Salleh (KAHS) kepada pihak Kuala Sepetang Eco Tourism Matang Mangrove Forest.