Oleh: Farah Lutfiah Yasmin dan Muhammad Naim

Tanjong Malim, 26 Oktober 2024 – Pusat Ulul Albab UPSI dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UPSI dan Fakulti Sains dan Matematik UPSI menganjurkan Pertandingan Misi Pencarian Ikon Ulul Albab (IKON) 6.0 2024 dan Ulul Albab Innovation Competition Exhibition (UA-ICE) 2024, bertempat di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Timbalan Naib Canselor (HEPA) UPSI bersama Timbalan Naib Canselor (HEPA) UM dan Pemenang IKON ULUL ALBAB

Pertandingan IKON Ulul Albab bertujuan mencungkil bakat peserta dalam pengucapan awam secara berstruktur dan spontan, serta melahirkan khalifah profesional dengan menerapkan elemen-elemen Ulul Albab iaitu Quranik, Ensiklopedik, dan Ijtihadik.

Pertandingan ini dipertandingkan dalam dua kategori iaitu Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Sekolah Menengah.

Sebanyak 48 peserta dari kategori IPT dan Sekolah Menengah menyertai pertandingan ini, dengan 10 peserta setiap kategori layak ke peringkat akhir.

Mereka memukau juri dengan persembahan menarik. Peringkat saringan awal berlangsung pada 22 hingga 30 September, diikuti separuh akhir pada 12 hingga 13 Oktober.

Johan kategori sekolah menengah dimenangi Nur Athilah Batrisya dari Maktab Rendah Sains MARA ATM Bera, manakala bagi kategori universiti, Ali Hydar Hafizi dari Universiti Malaya dinobatkan sebagai juara. Pemenang menerima trofi, sijil, dan wang tunai RM1,000.

Pertandingan UA-ICE 2024 menarik penyertaan 32 kumpulan dari IPT dan Sekolah Menengah, bertujuan mengasah bakat dan kreativiti dalam menghasilkan produk inovasi yang berteraskan elemen Ulul Albab.

Sesi penjurian UA-ICE

Tiga kategori dipertandingkan: Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), Teknologi Kejuruteraan, Pertanian, Teknologi Makanan, Hospitaliti, Pelancongan dan Fesyen, serta Pengurusan dan Pentadbiran.

Sebanyak 22 kumpulan dari kategori pelajar sekolah, 5 kumpulan dari kategori IPT, dan 5 kumpulan dari kategori ahli akademik dan profesional mempersembahkan idea inovasi mereka.

Johan kategori pelajar sekolah dimenangi oleh kumpulan USULHUB dari Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahmah.

Bagi kategori IPT, pasukan Universitas Muhammadiyah Surakarta dari Indonesia meraih naib johan, manakala kumpulan PANDAMO dari Universiti Malaya dinobatkan sebagai juara. Kategori ahli akademik dan profesional pula dimenangi oleh kumpulan ULUL ALBAB JUNIOR, dipimpin Dr. Sakinah Salleh dari UPSI.

Peserta antarabangsa dari Indonesia mewakili Universitas Muhammadiyah Surakarta.

Majlis penutupan dirasmikan oleh Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, dengan kehadiran Profesor Dr. Zamri Radzi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya.

Dalam ucapannya, Profesor Dr. Norkhalid mengucapkan tahniah atas kejayaan program ini yang bukan sahaja mempromosikan elemen Ulul Albab tetapi juga menarik penyertaan luar negara.

Peserta Akhir IKON Ulul Albab Peringkat IPT.

Beliau menekankan bahawa pertandingan ini perlu diperluas kepada semua peringkat masyarakat untuk menonjolkan bakat dalam pengucapan dan inovasi.

Johan Peringkat Sekolah Menengah.

Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh, meluahkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran peringkat antarabangsa ini, yang diharapkan menjadi acara tahunan melibatkan institusi pengajian tinggi dan sekolah dengan fokus pada Ulul Albab.