Oleh: Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib & Siti Nuraisha Safiyyah Samsurie
Georgetown, 26 Oktober 2024- Kelab Geografi Universiti Sains Malaysia (KGUSM) dengan kerjasama Water Watch Penang menganjurkan sebuah majlis penyampaian hadiah bagi Program Tiktok Competition 4.0 yang bertemakan ‘Together Saving Our Water’. Majlis peringkat kebangsaan ini berlangsung di Dewan Sekolah SJKC Union, Georgetown, Pulau Pinang menarik perhatian ramai peserta dari pelbagai institusi.
Majlis dihadiri oleh Penasihat Persatuan Geografi (PERGEO), Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib, yang turut memberikan sokongan kepada para pemenang semasa momen penyampaian hadiah. Dalam pertandingan ini, seramai empat mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), khususnya aktivis Persatuan Geografi, berjaya meraih kejayaan dalam pelbagai kategori pengiktirafan.
Siti Nuraisha Safiyyah Samsurie diumumkan sebagai Johan menerima hadiah berupa wang tunai RM 1,000 beserta sijil penyertaan. Naib Johan pula jatuh kepada Ahmad Mushraf Arasy Mustahid membawa pulang wang tunai berjumlah RM 700 serta sijil penyertaan, manakala pemenang saguhati diberikan kepada Nur Izzati A’liah Nordin dan Siti Nurnajihah Mohd Nor, masing-masing membawa pulang RM 100 dan sijil penyertaan.
Program ini dianjurkan secara bersama oleh Kelab Geografi, GeoInformatic Unit (GIU), Water Watch Penang (WWP), dan Persatuan Geografi Malaysia (GeogMalaysia), dan berlangsung secara atas talian dari 31 Ogos hingga 30 September 2024. Pertandingan ini memfokuskan kepada penghasilan video TikTok yang mendorong kesedaran masyarakat tentang pentingnya penjimatan air. Tema “Together Saving Our Water” ini adalah sangat relevan dengan keadaan semasa, di mana kemerosotan sumber air bersih dan peningkatan bil air dalam setiap isi rumah menjadi isu yang semakin mendesak. Program ini ditaja sepenuhnya oleh Water Watch Penang (WWP) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), menunjukkan komitmen kedua-dua organisasi dalam mempromosikan kesedaran dan amalan penjimatan air di kalangan masyarakat.
Majlis penyampaian hadiah dibahagikan kepada empat sesi. Sesi pertama menyaksikan majlis perasmian oleh Naib Presiden Water Watch Penang, Profesor Madya. Gs. Dr. Tan Mou Leong, yang memberikan ucapan pembuka dan menggariskan kepentingan penjimatan air. Sesi ini diikuti dengan ucapan ringkas dari wakil Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk memberikan pandangan tentang inisiatif dan peranan mereka dalam isu pengurusan sumber air. Sesi kedua melibatkan pertandingan bicara berirama yang melibatkan sekolah-sekolah yang mengambil bahagian, menunjukkan keahlian dan kreativiti mereka.
Sesi ketiga merupakan detik penting dalam majlis ini, di mana video pemenang dipersembahkan untuk ditonton oleh semua hadirin, diikuti dengan pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah. Sesi terakhir diakhiri dengan sesi fotografi yang meriah bersama tetamu kehormat, pengarah program, Ahli Jawatankuasa pelaksana, serta para peserta, diikuti dengan agihan makanan tengah hari kepada semua yang hadir.
Secara keseluruhannya, Program Tiktok Competition 4.0: Together Saving Our Water ini berjalan dengan lancar dan memberi impak positif kepada semua yang terlibat, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Lebih daripada sekadar pertandingan, program ini telah berjaya menyemai kesedaran tentang pentingnya penjimatan air dalam kalangan generasi muda. Diharapkan program ini akan menjadi dorongan dan perangsang kepada semua mahasiswa, khususnya di UPSI, untuk terus berusaha dan komited dalam memelihara sumber air serta menjaga alam sekitar demi kesejahteraan bersama.