Oleh: Taufiq Bahari
TELUK BATIK, 10 NOVEMBER – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Bengkel Pengukuhan Pasukan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sidang 2024/2025. Bertempat di Virgo Batik Resort, Teluk Batik, Perak, bengkel ini berlangsung selama tiga hari dua malam dengan tujuan untuk memperkasakan dan mempersiapkan barisan kepimpinan pelajar yang baharu.
Seramai 31 ahli MPP baharu menyertai bengkel ini bersama 10 wakil dari sekreteriat Campus Election Organisation (CEO) serta pegawai dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP). Bengkel intensif ini diisi dengan pelbagai modul latihan yang memberi tumpuan kepada pembangunan karakter, kerjasama, dan kekeluargaan. Aktiviti-aktiviti yang dirancang melibatkan latihan dalam dewan dan juga aktiviti luar yang menguji ketahanan fizikal dan mental peserta.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin, bengkel ini direka khas untuk memantapkan peranan MPP sebagai entiti tertinggi dalam kalangan pelajar. “Mereka yang dilantik untuk memegang tanggungjawab ini perlu sedar bahawa menjadi MPP bukan sekadar mempunyai jawatan yang tinggi, sebaliknya ia membawa pengertian yang lebih besar dan bermakna,” ujar beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa UPSI sangat mementingkan kualiti kepimpinan dalam setiap ahli MPP, terutama dalam menjalankan tugas dengan penuh komitmen dan tanggungjawab. Oleh itu, bengkel ini diharap dapat memberi nilai tambah kepada setiap ahli MPP agar mereka dapat menjadi contoh teladan kepada pelajar dalam pelbagai aspek.
Aktiviti-aktiviti luar yang dianjurkan bukan sahaja membantu dalam pembentukan kerjasama dan kekeluargaan antara ahli, malah turut menekankan nilai-nilai integriti dan kepimpinan. Dengan pengisian bengkel yang menyeluruh, diharapkan MPP UPSI dapat menjalankan peranan mereka dengan penuh iltizam, menjadi inspirasi, serta membawa impak positif dalam kehidupan kampus.
Bengkel ini melambangkan dedikasi UPSI dalam membimbing MPP baharu untuk menjadi pemimpin yang berdedikasi dan berwawasan, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan pemimpin yang berkualiti tinggi dan berintegriti.