Oleh: Mohd Faiz Zabri & Nor Muhammad Hazim Mazuki

KUALA TERENGGANU, 10 November- Seramai 40 atlet olahraga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) beraksi dengan penuh semangat dan kegigihan dalam Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), membawa nama UPSI ke pentas sukan yang berprestij.

Perjalanan kejohanan bermula dengan Sirkit 1 di Stadium Perak, Ipoh pada 8 hingga10 Mac, diikuti Sirkit 2 di Stadium Kluang, Johor. Sirkit ketiga berlangsung di Stadium UUM, Sintok, yang turut disatukan dengan kejohanan SUKIPT 2024, sebelum penutup di VTF Grand Final di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu pada 8 hingga 10 November.

Kontinjen Olahraga UPSI menunjukkan prestasi konsisten dan berjaya menduduki tempat kedua dalam Sirkit VTF 1 dan VTF 2, memberi saingan sengit kepada UPM yang berada di kedudukan pertama. Kejayaan ini mencerminkan kekuatan dan dedikasi atlet UPSI dalam mengharumkan nama universiti serta semangat kerjasama dalam menghadapi cabaran di setiap sirkit pertandingan.

Kontinjen Olahraga UPSI sekali lagi mengharumkan nama universiti dalam kejohanan Sirkit VTF Grand Final yang diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu. Dalam kejohanan ini, Kontinjen Olahraga UPSI berjaya meraih kedudukan ketiga terbaik keseluruhan daripada 22 buah universiti yang bertanding. Pencapaian luar biasa ini disokong dengan kejayaan kontinjen Olahraga UPSImembawa pulang 4 pingat emas, 13 pingat perak, dan 4 pingat gangsa, membuktikan kesungguhan dan semangat juang mereka di pentas sukan universiti.

Antara pencapaian paling membanggakan adalah kejayaan dua atlet UPSI yang berjaya memecahkan rekod kejohanan. Seorang daripada mereka adalah atlet lompat tinggi wanita ,Rosita Lua Anak Jabing, yang telah berjaya memperbaharui rekod kejohanan untuk acara tersebut  dengan ketinggian 1.65 meter, manakala pelari 400 meter lari berpagar lelaki Wan Mohamad Alhafiz Wan Mohamed Kozaini yang menunjukkan prestasi luar biasa mencatat rekod baharu dengan masa 54.30 saat, menundukkan pesaing dari Universiti Teknologi  Malaysia (UTM). Kejayaan memecah rekod ini bukan sahaja menambah koleksi pingat UPSI tetapi juga menonjolkan potensi besar atlet-atlet UPSI di peringkat sukan universiti.

Dengan pencapaian yang membanggakan ini, UPSI telah membuktikan bahawa mereka bukan sahaja cemerlang dalam bidang pendidikan tetapi juga dalam arena sukan, menjadikan universiti ini sebagai salah satu institusi pendidikan yang unggul di Malaysia. Terima kasih diatas sumbangan dan pengorbanan semua pihak bagi Varsity Track & Field 2024 ini.

Tahniah dan Syabas, Kontinjen UPSI

“Impossible is Nothing”