Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim, 11 November 2024 – Penganjuran Pementasan Karya Agung Teater Tradisional Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam, menggalakkan penggiat seni mempersembahkan bakat, penyelidikan dan kajian mengenai teater tradisional sekaligus memlihara warisan budaya Melayu.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pementasan teater Mak Yong ini juga dilihat mampu menyemarakkan kembali teater tradisional Mak Yong kepada masyarakat, terutama sekali kepada generasi muda termasuklah mahasiswa di universiti ini.

Tetamu yang hadir membaca lafaz ikrar rukun negeri sebelum Pementasan Karya Agung Teater Tradisional Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ bermula.

“Pementasan Karya Agung ini dilihat bukan semata-mata untuk memberi hiburan kepada penonton, malah pementasan ini dianggap satu alat pendidikan yang boleh mengetengahkan nilai-nilai madani yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan bermasyarakat.

Tambah beliau, melalui pementasan Mak Yong ini, pelbagai elemen yang menjadikan ia sebuah Karya Agung yang menyelitkan unsur budaya, tradisi, pengajaran, pembelajaran serta tersurat dan tersirat unsur nasihat.

Antara babak menarik dalam Pementasan Karya Agung Teater Tradisional Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ di UPSI, Tanjong Malim, semalam.
Antara babak menarik dalam Pementasan Karya Agung Teater Tradisional Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ di UPSI, Tanjong Malim, semalam.

“Dalam pementasan teater Mak Yong ini, nilai yang ditekankan adalah keadilan, kesetiaan, kebijaksanaan, pengorbanan, keberanian dan ketabahan seseorang.

“Ia juga dianggap sebagai sebuah teater yang unik dan penuh dengan nilai-nilai estetika kerana pementasan Mak Yong kali ini menggabungkan elemen tradisional dan kebudayaan Melayu,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata penganjuran Mak Yong ini bertujuan mengangkat pementasan teater tradisional Mak Yong yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Karya Agung Dunia pada 2005.

“Teater Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ adalah antara karya yang cukup terkenal dalam dunia pementasan teater dan seringkali menjadi persembahan warisan budaya melayu yang kaya dengan nilai-nilai murni.

“Pementasan teater ini adalah penting dalam memelihara dan mempromosikan karya agung teater tradisi Mak Yong,” ujar beliau.

Kisah Mak Yong bermula dengan pelayaran Raja Tangkai Hati yang ingin pulang menziarahi ayahandanya di negeri Sekota Batu bersama-sama isterinya iaitu Puteri Cempaka Emas bersama dua orang anaknya iaitu Malim Bisnu dan Malim Bongsu.

Namun begitu, pelayaran mereka tergendala akibat kuasa Puteri Bota yang menimbulkan sebuah beting mengakibatkan kapal itu berhenti.

Hal demikian, terjadi akibat Puteri Bota yang menyimpan dendam terhadap ‘Raja Tangkai Hati’ yang tidak memperisterikannya.

Disebabkan itu, Puteri Bota berniat jahat bertukar menjadi seekor kumbang lalu terbang ke atas kapal untuk menipu helah Raja Tangkai Hati sekeluarga.

Pementasan teater Tradisional Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan (JKKN) dan Persatuan Solidariti Seni Budaya dan Warisan Malaysia dengan kerjasama UPSI pada 9 dan 10 November 2024 bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Turut hadir menyaksikan persembahan teater tradisional ini Kerabat Di Raja Selangor dan Kelantan, Yang Mulia Tengku Shamsul Bahri Al-Haj Tengku Azman Shah bersama isteri; Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya; Datuk Shaharudin Abu Sood; Pengarah Jabatan Strategik UPSI, Prof Dr. Azmi Mohamed; Presiden Persatuan Solidariti Seni Budaya dan Warisan Malaysia, Kolonel Datuk Ariful Ahmadi Abdul Rahman JP; Timbalan Ketua Pengarah Sektor Dasar dan Perancangan, Mohamad Radzi Omar;; Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Yang Mulia Tengku Ahmad Badlishah Raja Husein; Dekan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI, Prof Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saearani