Georgetown- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya merangkul dua Anugerah Emas di pertandingan inovasi terkemuka, Innozilla 2024 yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 6-7 November. Pertandingan inovasi ini menghimpunkan penyelidik dan inovator dari pelbagai universiti, kolej, sekolah, organisasi sektor awam dan swasta serta pihak industri dari dalam dan luar negara. Innozilla menampilkan projek-projek inovatif yang menawarkan penyelesaian dan penambahbaikkan dalam  pelbagai bidang seperti Pendidikan,  Kesihatan & Kesejahteraan, Tenaga & Perlindungan Alam Sekitar dan Industri.

UPSI telah mencapai kejayaan menerusi produk inovasi bertajuk ‘Research Integrated Management System (MyRIMS)’, dibangunkan oleh pasukan penyelidik UPSI yang diketuai oleh pensyarah Fakulti Meta-Teknologi, Dr. Noor Hidayah Che Lah. Ahli penyelidik bersama bagi MyRIMS ialah Ahmad Dzohir bin Ariffin @ Maarof, Ammar Ashraf Narul Akhla, Amin Irfan Mohamad Suwarno, Zuraida Mahmood, Profesor Madya Dr. Aslina Saad, Rasyidi Johan dan Dr. Nor Masharah Husain.

Produk inovasi ini diiktiraf atas keunikan dan keberkesanannya dalam pengurusan data di UPSI secara one-stop center khususnya penyelidikan, perundingan, inovasi, pengkomersialan, penerbitan, kecemerlangan akademik, kewangan dan tadbir urus.

Kejayaan ini juga turut diraih melalui produk inovasi bertajuk ‘Modul Transformatif Pensijilan Profesional Guru Takmir’ yang dibangunkan oleh pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Profesor Madya Dr. Saipolbarin Ramli sebagai penyelidik utama. Penyelidik bersama yang turut membantu bagi produk ini ialah Dr. Taj Rijal Muhamad Romli, Dr. Mohammad Taufiq Abdul Ghani, Dr. Nazri Atoh dan Dr. Zarima Mohd Zakaria. Modul ini bertujuan meningkatkan kemahiran pedagogi Guru Takmir serta memperkukuhkan kompetensi pedagogi dan turath Islam di era digital.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Suriani Abu Bakar berkata,  “Kejayaan ini adalah bukti kesungguhan UPSI untuk terus berada di barisan hadapan dalam inovasi pendidikan. Ini bukan sahaja mengharumkan nama UPSI tetapi juga mengukuhkan kedudukannya di Malaysia sebagai salah satu universiti  berteraskan pendidikan.”

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), UPSI, Profesor Dr. Rosmilah Misnan juga turut berbangga kerana dengan pencapaian ini serta menyokong UPSI untuk terus melangkah maju dalam memperkasakan pendidikan negara, di samping membuka peluang kerjasama strategik dengan institusi antarabangsa dalam mengukuhkan pembangunan pendidikan global.

Kejayaan UPSI dalam menerapkan inovasi sebagai budaya di universiti telah memperkukuh motivasi dan komitmen pensyarah untuk terus melangkah maju, menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi, dan menyumbang kepada pembangunan akademik yang mampan. Inisiatif ini selari dengan matlamat universiti untuk membentuk generasi pendidik yang proaktif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.