Oleh: Saufi Rosmi dan Haikal Musa
PAUH – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan lawatan rasmi ke Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) hari ini, dengan delegasi yang terdiri daripada Pengetua, Ketua Felo, Pentadbir Kolej, serta staf Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UPSI. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif UPSI untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi di Malaysia.
Pengerusi Majlis Pengetua Kolej Kediaman UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan, menjelaskan bahawa lawatan penanda aras ini melibatkan seramai 19 wakil dari UPSI. Matlamat utama lawatan ini adalah untuk bertukar pandangan dari pelbagai aspek pengurusan kolej kediaman yang diamalkan di KUIPs. Fokus tinjauan termasuklah pendekatan dalam pengurusan asrama, kebajikan dan keselamatan pelajar, serta aktiviti kemahasiswaan yang disusun oleh pihak KUIPs.
“Kami berharap lawatan ini dapat menjadi platform untuk kedua-dua institusi memperkukuhkan amalan terbaik dalam pengurusan kolej kediaman dan aktiviti pelajar, sekali gus meningkatkan pengalaman serta kesejahteraan pelajar di kampus masing-masing,” ujar Prof. Madya Dr. Mohd Nizam selepas sesi taklimat yang disampaikan oleh Pemangku Dekan Fakulti Al-Quran dan Sunnah, Ustazah Nur Afifah Fadhil, bersama-sama Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pascasiswazah Fakulti Pengajian Islam, Dr. Ihsan Idris.
Delegasi UPSI juga diwakili oleh pelbagai wakil kolej kediaman seperti Kolej Awang Had Salleh, Kolej Harun Aminurrashid, Kolej Ungku Omar, dan Kolej Aminuddin Baki, yang memberi peluang kepada KUIPs untuk bertukar pandangan dengan wakil-wakil berpengalaman dari setiap kolej ini. Lawatan ini turut dihadiri oleh Pegawai Tadbir Fakulti Al-Quran dan Sunnah, Mohd Farkhi Azman, Pegawai Tadbir Fakulti Pengajian Islam, Rohana Zainol, serta Ketua Bahagian Korporat KUIPs, Samsudin Oli Mohamed.
Secara keseluruhannya, lawatan ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi idea dan inovasi dalam memperkasakan pengurusan kolej kediaman. Pertemuan ini juga diharapkan dapat memberi inspirasi kepada kedua-dua institusi dalam usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan pengalaman pembelajaran pelajar yang lebih holistik.