Oleh: Saufi Rosmi dan Haikal Musa
PAUH PUTRA – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan lawatan ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi meninjau dan mempelajari struktur pentadbiran serta pengurusan kolej kediaman di universiti tersebut. Lawatan ini diketuai oleh Prof. Madya. Dr. Mohd Nizam Nasrifan manakala dari UniMAP diketuai oleh Encik Syamril, yang merupakan Pengetua Majlis Pengetua UniMAP, yang menyambut kehadiran delegasi UPSI
Dalam lawatan ini, delegasi UPSI diperkenalkan kepada struktur pentadbiran unik UniMAP, di mana pengurusan kolej kediaman diletakkan sepenuhnya di bawah Unit Perumahan. Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan penyelarasan dalam aspek penyelenggaraan, tetapi juga memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar terjaga dengan lebih baik.
Delegasi UPSI juga berkesempatan melihat sendiri kemudahan yang disediakan di kolej kediaman UniMAP, yang mempunyai kapasiti keseluruhan sebanyak 11,504 pelajar. Ini menjadikan UniMAP antara universiti yang menyediakan kemudahan kediaman pelajar yang besar, sesuai untuk menampung jumlah pelajar yang ramai. Di samping itu, UniMAP turut menampilkan pendekatan unik dalam pemilihan felo kolej kediaman, di mana para felo terdiri daripada pelajar yang sedang mengikuti program Ijazah Sarjana.
Encik Syamril turut menjelaskan mengenai struktur organisasi Majlis Pengetua UniMAP, yang bertanggungjawab dalam pelbagai aspek termasuk pengurusan majlis pengetua, pembangunan bakat penghuni kolej kediaman, pengurusan felo, pengurusan Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK), serta menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar. Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) ini ditubuhkan melalui proses pemilihan oleh pelajar menerusi sesi pilihan raya di setiap kolej, manakala pemilihan untuk Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) di UPSI dijalankan melalui sesi temuduga yang dikendalikan oleh felo.
Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi UPSI untuk memahami lebih lanjut sistem pentadbiran dan pengurusan kediaman di UniMAP, serta melihat setiap pengurusan mempunyai pendekatan yang tersendiri yang pastinya untuk memberikan layanan terbaik yang boleh diadaptasi dalam pengurusan kolej kediaman UPSI. Melalui perbincangan dan perkongsian pengalaman ini, kedua-dua institusi berharap dapat memperkukuh kerjasama dalam meningkatkan mutu pengurusan kolej kediaman serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan menyeluruh untuk pelajar.