Tanjong Malim, 13 November- Karnival Service Learning University for Society (SULAM) UPSI 2024 telah melabuhkan tirai dengan jayanya melalui penganjuran Malam Apresiasi SULAM berlangsung di Dewan Muallim, Scholar’s Suite, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Selari dengan objektif pelaksanaan Karnival SULAM UPSI 2024 untuk mengumpul dan menonjolkan projek-projek SULAM UPSI yang telah dijalankan oleh warga UPSI bersama komuniti sasaran melalui Showcase SULAM@UPSI yang telah berjaya menarik 71 penyertaan melibatkan 218 peserta dan lebih 300 orang, Malam Apresiasi SULAM dianjurkan bagi  memberi pengiktirafan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang Showcase SULAM@UPSI dan aktiviti SULAM yang telah dijalankan oleh Pusat Pembangunan Akademik (PPA) sepanjang tahun 2024.

Majlis menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang sudi merasmikan majlis di hadapan 160 orang tetamu. Turut hadir bersama dalam majlis Malam Apresiasi SULAM adalah Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Md Amin Md Taff bersama barisan Timbalan Naib Canselor, ahli JKPU, Pengarah Pusat Pembangunan Akademik, wakil Bahagian Kecemerlangan Akademik Kementerian Tinggi, barisan juri, wakil komuniti, peserta Karnival SULAM UPSI 2024 yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar.

Barisan penerima Anugerah Pencapaian SULAM Terbaik Fakulti

Pelbagai anugerah dan hadiah kemenangan daripada aktiviti SULAM UPSI 2024 telah disampaikan termasuk Anugerah Pencapaian SULAM Terbaik Fakulti yang diterima oleh Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) dan Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) manakala Anugerah Khas Komuniti dimenangi oleh SJK © Chung Sin Tanjong Malim dan Pusat Kesihatan Daerah Muallim. Hadiah kepada pemenang Showcase SULAM@UPSI, Poster Pilihan Showcase SULAM@UPSI dan Pertandingan Video SULAM Sesi 2023/2024 turut disampaikan dalam majlis yang sama.

Tempat pertama Showcase SULAM@UPSI Kategori Pensyarah dimenangi oleh Prof. Madya Dr. Syakirah Shamsuddin dan ahli pasukan dari FSM manakala tempat kedua dimenangi oleh Amsalib Pisali dan ahli pasukan dari FMSP dan tempat ketiga dimenangi oleh Dr. Kaaminy A/P Kanapathy dari FBK. Bagi Kategori Pelajar, tempat pertama dimenangi oleh Shahril Shazwan bin Sharuddin dan ahli pasukan dari Fakulti Teknikal dan Vokasional, tempat kedua oleh Chia Hei Min dari FPM dan tempat ketiga oleh Nor Syahira Chew Edey Ridzuan Chew dan ahli pasukan dari FSM. Pertandingan poster pilihan Showcase SULAM@UPSI Kategori Pensyarah dimenangi oleh Dr. Noor Zuhidayah Muhd Zulkipli manakala Kategori Pelajar dimenangi oleh Muhammad Syamil Shaharuddin.

YB Datuk Ts. Mustapha (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama Showcase SULAM@UPSI Kategori Pelajar

Majlis diserikan dengan persembahan hasil projek SULAM yang telah dijalankan bersama komuniti dan diolah untuk dipertunjukkan semula oleh pemenang Pertandingan Video SULAM Sesi 2023/2024 yang terdiri daripada gabungan pelajar-pelajar dari FMSP dan FSK. Kumpulan pelajar ini telah membawakan persembahan nyanyian, teater, sajak dan bermain muzik menggunakan bahan terpakai.

Hasil projek SULAM 2024 dipersembahkan dalam persembahan teater oleh pelajar-pelajar FMSP

Dalam ucapan perasmian YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyatakan penghargaan beliau atas komitmen UPSI dalam membina ekosistem kondusif untuk pembangunan warganya dan masyarakat setempat melalui projek-projek SULAM dan berharap agar warga akademia dan pelajar dapat terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam memastikan kecemerlangan akademik sebagai teras utama dalam pendidikan tinggi di Malaysia. Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada UPSI atas kejayaan mendapat Naib Johan di Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi Reka Bentuk Kurikulum dan Pengajaran Inovatif 2024 (AKRI 2024) oleh Dr. Hamidah Idris yang juga merupakan projek SULAM yang dibawa dalam pertandingan tersebut.

Prof. Dato’ Dr. Md Amin telah berkongsi inisiatif UPSI dalam mendekati masyarakat yang telah dilaksanakan secara aktif sejak penubuhan universiti pada tahun 1922 serta pencapaian warga UPSI dalam SULAM dan menyatakan rasa bangga atas kejayaan dalam pelbagai pertandingan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi sejak tahun 2019 hingga kini seperti SULAM Innovate dan Pertandingan SULAM sempena Persidangan SULAM Kebangsaan.

Kejayaan pelaksanaan Karnival SULAM UPSI 2024 akan menjadi pemangkin kepada pelbagai inisiatif pemantapan SULAM di UPSI yang akan dirancang dan dijalankan oleh Pusat Pembangunan Akademik untuk kemajuan seluruh warga UPSI.