Oleh: Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib

Kuala Sepetang, 13 November – Seramai 110 pelajar kursus Pengantar Persekitaran Fizikal, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berpeluang mendalami ekosistem hutan paya laut melalui program pembelajaran berasaskan lapangan di Pusat Eko Pembelajaran Hutan Paya Laut Matang. Kajian lapangan ini melibatkan bersama Profesor Pelawat dari Universitas Negeri Yogyakarta, Prof. Suhadi Purwantara, serta pensyarah lain dari Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Prof. Madya Dr. Nasir Nayan dan Dr. Norshahida Azali.

Prof. Suhadi dari UNY bersama pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar

Sepanjang program ini, pelajar dibimbing oleh ranjer berpengalaman iaitu Faysal, Azman dan Khairul yang menyediakan maklumat penting mengenai hutan paya laut serta spesis pokok bakau di kawasan tersebut. Mereka turut diberi peluang menjalani Program Kesedaran Alam Hutan Paya Laut Matang, satu aktiviti mendidik berkaitan pemuliharaan alam sekitar, yang mengambil masa tiga jam.  Program Kesedaran Alam Hutan Paya Laut Matang ini merangkumi pelbagai aktiviti pendidikan, termasuk pengenalan dan taklimat praktikal mengenai hutan paya laut, kepentingan ekosistemnya, serta pengurusan lestari kawasan tersebut.

Pelajar diberi penerangan spesifik mengenai spesies pokok bakau seperti Avicennia, Sonneratia, Rhizophora dan Bruguiera, serta berpeluang berjalan sejauh 1.5 km dalam hutan paya laut untuk mengenalpasti spesimen tumbuhan. Mereka juga mengamati haiwan dan burung di habitat semula jadi, belajar proses percambahan biji benih bakau, dan mempelajari komponen biotik dan abiotik, serta siratan makanan hutan paya laut. Selain itu, pelajar turut menyemai benih bakau di tapak semaian dan melawat kilang arang kayu untuk memahami proses pembuatan arang kayu. Sepanjang kajian lapangan ini, para ranjer ini berkongsi maklumat yang mendalam mengenai ekosistem pokok bakau, termasuk kepentingan spesies ini dalam melindungi garis pantai, memelihara biodiversiti, serta menyerap karbon. Para pelajar berpeluang melihat sendiri keunikan pokok bakau, termasuk struktur akar yang menonjol keluar dari tanah dan fungsinya dalam memperkukuhkan ekosistem kawasan paya laut.

Antara aktiviti yang dilakukan seperti pengetahuan ekosistem paya bakau, melawat kilang arang kayu dan menyemai benih bakau.

Dr. Sumayyah menekankan bahawa kajian lapangan sebegini penting untuk memberi pemahaman secara langsung kepada pelajar mengenai dinamika alam sekitar yang sebenar, sekaligus menambah baik proses pembelajaran mereka. Menurutnya, “Pembelajaran berasaskan lapangan seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan konsep-konsep teori yang dipelajari di dalam kelas dan memahami realiti persekitaran dengan lebih mendalam.”

Pihak universiti mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Pusat Eko Pembelajaran Hutan Paya Laut Matang atas kerjasama yang diberikan, terutamanya kepada ketiga-tiga ranjer yang telah meluangkan masa memberi penerangan mendalam kepada pelajar. Terima kasih juga buat majlis tertinggi Persatuan Geografi kerana terlibat secara langsung dalam program ini. Pengalaman pembelajaran berasaskan lapangan seperti ini diharap akan terus dikembangkan bagi memastikan para pelajar bukan sahaja memahami teori tetapi turut mengalami aplikasi sebenar dalam dunia persekitaran fizikal.