Oleh: Nur Fifi Adzmi
TANJONG MALIM – Unit Kediaman Luar Kampus, Universiti Pendidikan Sultan Idris menerima lawatan muhibbah dan penanda aras dari Jawatankuasa Perwakilan Luar Kampus, Universiti Malaysia Terengganu pada 30 Oktober 2024.
Program yang disertai oleh 35 orang mahasiswa/i bersama dua felo pengiring disambut meriah oleh barisan Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus, serta pengetua dan barisan felo daripada UKLK.
Program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara MMKLK dan JPLK, serta meningkatkan kesedaran dan penglibatan dalam organisasi.
Dalam sesi interaksi langsung, peserta dari kedua-dua pihak dapat berkomunikasi dengan lebih efektif, mengurangkan jurang yang mungkin wujud sebelum ini.
Pertukaran pendapat dan pengalaman yang dilakukan semasa program ini juga diharapkan dapat memperkukuh kerjasama dan pemahaman antara MMKLK dan JPLK.
Pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob dalam ucapan perasmian beliau menekankan kerjasama yang erat antara pelbagai pihak adalah kunci kepada kejayaan kita bersama.
“Dengan semangat perpaduan, kita mampu mencapai matlamat yang lebih besar.”
Para peserta dari JPLK juga diberi peluang melawat beberapa kawasan universiti termasuk Muzium Pendidikan Nasional, Perpustakaan Tunku Bainun serta Bangunan Bitarasiswa dimana letaknya pejabat UKLK bagi mengenali UPSI dengan lebih dekat.
Slot aktiviti pada malam pertama dimeriahkan dengan perlawanan persahabatan bowling di fasiliti terbaru di UPSI, iaitu UPSI Sports Bowl.
Bertemakan “Kampung Rakyat”, semua peserta, felo penasihat, dan pengetua UKLK turut hadir untuk memeriahkan suasana.
Mereka mengenakan pakaian yang mencuit hati, menjadikan pusat bowling UPSI penuh dengan keceriaan dan gelak tawa.
Hari kedua program diisi dengan aktiviti mendaki di Lata Perangin, Proton City, memberikan peserta peluang menikmati keindahan alam Tanjong Malim sambil mengeratkan silaturahim.
Aktiviti ini menyumbang kepada kesihatan fizikal dan mental serta memperkukuhkan semangat kerjasama dan perpaduan antara peserta.
Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja membina jaringan yang lebih kuat antara pihak-pihak yang terlibat, tetapi juga mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran dalam pengurusan organisasi dengan lebih berkesan.
Diharapkan inisiatif ini akan terus mengukuhkan kerjasama antara UKLK dan JPLK serta memberi impak positif kepada kedua-dua pihak dalam usaha meningkatkan kualiti pengurusan dan perkhidmatan di masa hadapan.