Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon & Nur Kamilia Zulaikha binti Mohd Karizam
Tanjong Malim, UPSI – Pada 13 Oktober 2024 (Ahad) merupakan Program Annual Grand Meeting Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK) 2023/2024 yang dianjurkan oleh Jabatan Setiausaha di bawah Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK) di Dewan Za’Ba, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini merupakan satu platform penting bagi ahli persatuan untuk berkumpul, berbincang, dan merumuskan pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang tahun. Dalam suasana yang penuh semangat dan kerjasama, kami telah mengenang pencapaian, serta cabaran yang dihadapi, dan merancang langkah-langkah seterusnya untuk memastikan PM2PK terus berkembang dan memberi impak positif kepada semua ahli AT10 dan juga kepada masyarakat. Tema AGM sidang ini, adalah prom night. AGM ini akan merangkumi aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan, pencapaian yang diraih, serta penglibatan ahli dalam merancang dan melaksanakan program-program yang berkesan dan bukan sahaja menjadi rekod bagi perjalanan PM2PK, tetapi juga sebagai sumber inspirasi untuk semua ahli agar terus berusaha dan berinovasi demi kebaikan bersama.
Pelaksanaan program ini bertujuan memberi penghargaan kepada barisan kepimpinan PM2PK bagi sidang 2023/2024. Penghargaan ini bertujuan untuk mengiktiraf usaha, dedikasi, dan komitmen mereka dalam memimpin persatuan sepanjang tahun. Penghargaan ini juga akan menggalakkan semangat kerja berpasukan dan meningkatkan rasa bangga dalam kalangan ahli persatuan. Selain itu, program ini bertujuan untuk melantik barisan kepimpinan yang baharu bagi sidang 2024/2025. Proses pemilihan ini akan memastikan kesinambungan kepimpinan dan membolehkan pelantikan individu yang berwibawa dan berkelayakan untuk menerajui persatuan.
Program ini merupakan salah satu komponen penting dalam majlis Annual Grand Meeting Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK) 2023/2024, di mana dua pembentangan utama telah diadakan iaitu Pembentangan Gerak Kerja oleh Jabatan Setiausaha dan Pembentangan Kewangan oleh Jabatan Bendahari. Pembentangan Gerak Kerja oleh Jabatan Setiausaha dimulakan dengan perwakilan daripada Jabatan Setiausaha, oleh Setiausaha Agung saudari Syrelyn Anak Misol dan Timbalan Setiausaha saudari Nur Kamilia Zulaikha Binti Mohd Karizam yang memperincikan aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang sidang 2023/2024. Dalam pembentangan ini, beberapa aktiviti utama telah diketengahkan, termasuklah Sebanyak 20 buah program yang dijalankan oleh PM2PK sidang 23/24 ( 8 buah program dikendalikan oleh MT PM2PK dan 13 program dikendalikan oleh 8 barisan Exco PM2PK. PM2PK telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa institusi pendidikan lain dan komuniti luar untuk melaksanakan aktiviti bersama sepanjang sidang, seperti seminar dan aktiviti sosial bersama Jazro Robotic Academy, IPG Kampus Ilmu Khas, SMK Syed Mansor, SMK Khir Johari, SMK Bandar Behrang 2020, SMK Slim, Universiti Pendidikan Petronas dan mendapat jemputan khas daripada Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Pendidikan Khas Persekutuan (FSD) dalam rangka sambutan ulang tahun ke-70 FSD di Pulau Pinang yang berjaya menarik perhatian dan penglibatan lebih ramai mahasiswa di peringkat universiti ke peringkat antarabangsa. Pencapaian PM2PK Sidang 23/24 adalah PM2PK mendapat kutipan tertinggi antara persatuan Fakulti Pembangunan Manusia dan kutipan mencecah RM5000. Seterusnya, mendapat Anugerah Khidmat Komuniti daripada SMK Khir Johari, Tanjong Malim atas khidmat sukarelawan yang diberikan. Bukan itu Sahaja, PM2PK’S Branch pertama dilancarkan, mendapat Anugerah Program Terbaik PM2PK dalam Fakulti iaitu Program UPSI X Jazro, melakukan persembahan Performer Koir Sign Language sempena Hari Konvokesyen UPSI 2023, Publisiti Variasi oleh Exco Media dan Publisiti serta menganjurkan Townhall AT10 pertama dilaksanakan dihadiri oleh pelajar AT10 seramai 450 daripada 480 orang. Keseluruhan pembentangan memberi gambaran jelas mengenai dedikasi dan usaha yang telah dicurahkan oleh jabatan dalam memajukan pendidikan khas dan memperkasa ahli persatuan.
Setelah pembentangan gerak kerja, sesi diteruskan dengan pembentangan kewangan oleh Bendahari Kehormat saudari Nur Munira Binti Rosli dan Timbalan Bendahari oleh Fatin Azimah Binti Hair perwakilan daripada Jabatan Bendahari. Pembentangan ini bertujuan untuk memberikan maklumat mengenai pengurusan kewangan persatuan sepanjang sidang. Beberapa aspek utama yang dibentangkan termasuk Jabatan Bendahari melaporkan jumlah pendapatan yang diperoleh melalui yuran keahlian, sumbangan, dan aktiviti pengumpulan dana. Perbelanjaan pula telah diperincikan mengikut kategori, termasuk program, latihan, dan kebajikan. Ia bukan sahaja memberikan pengetahuan tentang aktiviti dan pengurusan kewangan persatuan, tetapi juga meningkatkan transparansi dan kepercayaan dalam kalangan ahli. Sesi ini jelas menunjukkan dedikasi dan usaha yang telah ditunjukkan oleh semua jabatan dalam PM2PK. Pembentangan gerak kerja dan kewangan bukan sahaja menggariskan pencapaian yang telah diraih, tetapi juga memberi panduan untuk langkah-langkah seterusnya dalam memajukan persatuan. Diharapkan, dengan maklumat yang dikongsi, semua ahli dapat lebih memahami perjalanan dan hala tuju PM2PK bagi tahun yang akan datang.
Sesi ini adalah puncak majlis dengan Pengumuman Anugerah Penghargaan Badan Kepimpinan PM2PK 2023/2024, diikuti dengan Penyampaian Anugerah Pemenang (Individu) kepada mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang sidang bermula dengan Anugerah Majlis Tertinggi, Anugerah Exco, Anugerah Individu, dan Anugerah Penasihat Persatuan. Penyampaian apresiasi juga diberikan kepada Penasihat Persatuan dan Ketua Jabatan atas sokongan mereka. Sesi jamuan makan diadakan untuk semua hadirin, diikuti dengan Persembahan tarian dan sajak yang dipersembahkan oleh Exco Kesenian dan Kebudayaan. Cabutan Bertuah turut diadakan untuk memeriahkan majlis. Pengenalan kepada Badan Kepimpinan PM2PK 2024/2025 dilakukan, diikuti dengan pengumuman “King & Queen of The Night”, yang memberi penghargaan kepada peserta yang menunjukkan keperibadian dan gaya yang menonjol. Majlis diakhiri dengan Sesi Fotografi 2 bagi mengabadikan kenangan bersama barisan kepimpinan baharu dan semua hadirin, diikuti dengan ucapan terima kasih dan majlis bersurai.
Program Annual Grand Meeting PM2PK 2023/2024 telah berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Penghargaan kepada kepimpinan sedia ada, pelantikan kepimpinan baharu, dan aktiviti latihan yang dijalankan telah memberikan impak positif kepada semua ahli. Diharapkan kerjasama dan semangat yang ditunjukkan dapat diteruskan demi kemajuan pendidikan khas di masa hadapan. Tahniah dan syabas diucapkan kepada pihak Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas UPSI dan kepada semua penerima anugerah di program AGM PM2PK 2023/2024. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.