Oleh: Faiq Wa’ie Fazil@Fadzil
Tanjong Malim – Badan cergas minda cerdas merupakan salah satu elemen penting dalam membentuk mahasiswa yang mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan.
Program Penalty Over Obstacle anjuran Kolej Kediaman 5 Kolej Harun Aminurrashid ini, telah membawa para penghuni kolej untuk merasai pengalaman sepakan penalti yang pada kebiasaanya terdapat dalam permainan boleh sepak namun kali ini dengan cara mempunyai halangan seperti menendang bola ke dalam jaring tetapi keadaan mata sedang tertutup yang menambahkan lagi cabaran dari aspek kejituan dan koordinasi psikomotor.
Program ini juga pada masa yang sama menekankan kemahiran mengatur strategi dalam menempuhi halangan secara kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa UPSI sesuai dengan nilai Kebitaraan yang dipegang kukuh oleh warga UPSI.
Program ini juga memupuk semangat perpaduan dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan penghuni Kolej Kediaman 5 KHAR.
Aktiviti ini dimulakan dengan senamrobik bersama felo blok kediaman dan kata aluan pengarah program, Hafizuddin Mohd Zaki.
Beliau menyatakan bahawa program ini dilaksanakan bagi mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan dalam kalangan penghuni kolej bertepatan dengan komponen Sustainable Development Goals (SDG) yang ke-3 iaitu Good Health and Well-Being dalam kalangan penghuni kolej melalui aktiviti sepakan penalti yang unik namun mencabar pada masa yang sama.
Seterusnya, Mohd lzzat Abdul Rahman selaku felo Blok Kediaman 5 menyampaikan motivasi agar penghuni kolej kediaman mampu menonjolkan bakat dalam diri masing-masing agar mampu meningkatkan nilai tambah diri, bukan hanya dalam pembelajaran malah dalam bidang kesukanan.
“Saya mengharapkan agar semoga semua mahasiswa sentiasa cergas dan bersukan, sambil berusaha menghapuskan sosial antara penghuni kolej agar keharmonian dapat dibentuk disamping mengasah kebolehan diri masing-masing ”, ujar beliau
Para penghuni kolej mengambil peluang dalam menyertai program ini dengan menunjukkan semangat daya saing dan kecergasan bersukan sekaligus mengasah bakat bersukan, selaras dengan hala tuju KPT 2024 iaitu menyediakan bakat terbaik negara dalam bidang sukan.
Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Hj Che Anuar Che Abdullah juga mengharapkan bakat sukan yang ditonjolkan dapat menyumbang dalam mengharumkan nama Kolej Harun Aminurrashid dengan lebih luas, khususnya dalam bidang sukan di peringkat universiti kebangsaan dan persada antarabangsa.