Oleh: Syawalil Fitri & Siti Sapura

Tanjung Malim– Lebih daripada 800 jemaah telah memenuhi ruang solat utama di Masjid Al-Mursyidin untuk melaksanakan kewajipan sebagai seorang muslim yang patuh kepada agama.

Baru-baru ini, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Islam dan rakan strategik kolej kediaman telah bersatu dan menetapkan niat untuk menambahkan kemanisan dalam mengerjakan ibadah bersama setiap muslimin dan muslimat agar sering diberkati olehNya dengan menganjurkan satu program yang berakhlak dan penuh kesyukuran iaitu program Subuh Macam Jumaat.

Program yang penuh keberkatan ini telah dilaksanakan dengan harapan untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan dalam diri setiap insan yang bergelar hamba kepada Yang Maha Esa dan sekaligus mengeratkan ukhuwah antara setiap mahasiswa melalui pelaksanaan kewajipan ibadah solat.

36 orang ahli jawatankuasa dari Kolej Ungku Omar dan 24 orang wakil daripada setiap kolej kediaman telah terlibat dan bersama-sama dalam menarik setiap mahasiswa yang beragama Islam bagi menunaikan ibadah subuh di masjid secara berjemaah.

Menurut salah seorang jemaah masjid, program Subuh Macam Jumaat yang dianjurkan ini bukan sahaja memberikan kesedaran kepada mahasiswa tentang kelebihan solat berjemaah subuh di masjid, malah juga dapat memberikan pengalaman yang bermakna khususnya kepada mahasiswa yang baru menyambungkan pelajaran di UPSI.

Menurut Pengarah Program Subuh Macam Jumaat, Nur Syafiqah Umairah Mohd Shahbudin menyatakan hasrat gembira kerana program yang dianjurkan olehnya telah mendapat sambutan yang ramai dan jayanya.

“Selain daripada solat secara berjemaah, setiap mahasiswa turut dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah antara mahasiswa dan masyarakat Tanjung Malim. Melalui ibadah solat yang didirikan secara berjemaah ini telah memberikan satu kepuasan dan kegembiraan yang tidak ternilai,” jelasnya.

Tambahan dari pengarah program, aktiviti yang penuh keberkatan ini haruslah dilaksanakan dengan lebih kerap agar dapat memberikan pendedahan kepada setiap mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris tentang kelebihan dan keistimewaan ibadah subuh di masjid.

Turut hadir, Imam Muda Nuri yang merupakan jemputan khas bagi program Subuh Macam Jumaat berasa sangat terharu kerana Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO) telah sudi untuk menjemputnya bagi menyampaikan kuliah subuh yang penuh makna kepada para jemaah Masjid Al-Mursyidin.

Menurut Pengetua KUO UPSI, Prof. Madya Dr. Nizam Nasrifan, program Subuh Macam Jumaat yang dianjurkan sebegini mampu menanamkan sifat ketakwaan dan keinsafan yang tinggi kepada mahasiswa/i. Melalui kuliah yang disampaikan oleh Imam Muda Nuri, ianya turut membuka mata hati setiap mahasiswa/i tentang kebaikan solat secara berjemaah di masjid.

Program seperti Subuh Macam Jumaat ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa kerana program ini dapat memberikan pengisian rohani kepada muslimin dan muslimat terutama kepada mahasiswa UPSI.