Oleh : Norazilawati Setopa
Tanjong Malim, 16 November– Ketua Blok Kolej Kediaman 1 bersama-sama dengan Ahli Jawatankuasa Blok 1 bagi sidang 2024/2025 telah menganjurkan program ‘Zumba Party Arabella’. Program ini dijalankan adalah bertujuan untuk meningkatkan kesihatan fizikal bagi menjalani gaya hidup sihat sekali gus mampu menggalakkan sosialisasi dan kerjasama antara penghuni-penghuni, termasuklah Ahli Jawatankuasa Tertinggi Kolej, Ahli Jawatankuasa Kolej dan sebagainya. Program ini telah dirancang dengan baik oleh Ketua Blok Kediaman 1 dan dibantu oleh Penyelaras Blok Kediaman 1 dan juga Ahli Jawatankuasa Blok Kediaman 1.
Sesi berzumba diketuai oleh Ahli Jawatankuasa Aktiviti iaitu Nurshahidatul Akhirah Ahmad Razali, Sapura Mohd Masdin dan Lee Sin Yee. Seramai 250 orang peserta yang telah memeriahkan program ‘Zumba Party Arabella‘ yang bermula jam 8 malam dan tamat pada jam 10 malam. Program ini telah dirancang dengan jayanya sehingga semua peserta yang terlibat menikmati alur perjalanannya hingga ke akhir.

Ketua Blok Kediaman 1, Nurul Ain Fatehah Abdul Rahim merangkap Pengarah Program bagi program ‘Zumba Party Arabella’, sangat berterima kasih kepada penghuni blok 1 hingga blok 4 yang telah turun padang bagi memeriahkan lagi program ini. Semua sedia maklum bahawa program yang dijalankan bukan sahaja melahirkan keseronokan tinggal di kolej kediaman, malah terdapat banyak faedah yang akan diperoleh termasuklah mampu meningkatkan kecergasan dan kecerdasan serta mampu membantu pelajar-pelajar menghindari tekanan dalam menuntut ilmu.

Felo Blok Kediaman 1, Hazman Ya’akob selaku Penasihat Program Kolej Harun Aminurrashid turut serta dalam program Zumba Party Arabella merasmikan program. Dalam ucapannya, beliau berharap program ini dapat melahirkan sifat kesejahteraan dalam kalangan penghuni kolej dan mampu melahirkan penghuni yang berjiwa sihat dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Program ini turut menyediakan hadiah bagi peserta yang bertuah pada malam tersebut. Program yang berlangsung hasil titik peluh Pengarah Program dan Ahli Jawatankuasa Blok Kediaman 1 ternyata membuahkan hasil apabila peserta yang terlibat terlihat semakin mesra dan wujudnya senyuman yang berseri-seri di wajah mereka.
Aktiviti zumba yang dianjurkan telah mempamerkan satu budaya hidup sihat dalam kalangan penghuni Kolej Harun Aminurrashid dan semua penghuni yang turut serta dalam program ini. Hal ini telah memberikan ruang dan peluang kepada peserta yang terlibat untuk melahirkan keseronokan serta mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain. Program ini secara tidak langsung mewujudkan suasana yang riang, harmoni dan yang paling penting ialah semua penghuni mengamalkan gaya hidup yang sihat.
