Oleh : Dr. Mohd Mokhzani Ibrahim, Dr Muhamad Ikhwan Mat Saad, Dr Mohamad Termizi Borhan dan Nur Alia Syazreen Kamarol Idzham

KUALA KANGSAR, 21 November 2024 – Program Pemindahan Ilmu Ke Arah Pembudayaan Inovasi dan Integrasi Teknologi Digital dilaksanakan dengan jayanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Sungai Siput (U) dengan matlamat utama menyokong aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.

Program anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini bertujuan untuk memupuk budaya inovasi serta memperkenalkan integrasi teknologi digital dalam dunia pendidikan, sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.

Bersama dengan Pengetua SMK Methodist dan Pegawai SISC+ PPD Kuala Kangsar

Program ini bermula seawal jam 8.00 pagi dengan sesi pendaftaran peserta, yang terdiri daripada 36 orang guru di sekitar PPD Kuala Kangsar.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Encik R. Karunagaran S. Raman, yang menekankan pentingnya program ini dalam memperkasakan guru-guru untuk menyahut cabaran pendidikan masa depan.

Ahli Panel bersama peserta forum

Memetik daripada kata-kata beliau “Semuanya bermula dengan niat”, sememangnya peranan guru sebagai agen perubahan dalam membentuk generasi pelajar yang inovatif, tidak boleh dipandang enteng.

Ketua Program, Dr. Mohd Mokhzani Ibrahim, turut memberikan ucapan dengan menjelaskan visi program, iaitu memanfaatkan teknologi digital sebagai pemangkin transformasi pendidikan negeri Perak.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti telah dirancang dengan teliti untuk memberikan impak maksimum kepada peserta.

Peserta bersama Bas Pendidikan UPSI yang mempamerkan Bahan Bantu Mengajar Digital

Dengan mengetengahkan tiga orang panelis daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu Dr Mohd Mokhzani Ibrahim, Dr Muhamad Ikhwan Mat Saad dan Dr Mohamad Termizi Borhan, dan dibantu moderator iaitu En Azneezal Ar Rashid Mohd Ramli, para peserta berpeluang untuk sama-sama berdiskusi berkaitan potensi Kecerdasan Buatan (AI) dalam mempersonalisasikan proses pembelajaran, sekali gus meningkatkan keterlibatan dan prestasi pelajar.

Sesi Perkongsian Integrasi ChatGPT di dalam Proses Pengajaran

Forum ini berjaya membuka minda peserta bertepatan dengan temanya iaitu “Masa Depan Pendidikan: Meneroka Impak Kecerdasan Buatan (AI) dalam Revolusi Pembelajaran” .

Seterusnya, peserta dibawa untuk melawat Bas Pendidikan UPSI,  satu inisiatif menarik dalam memperkenalkan alat bantu mengajar interaktif serta aplikasi teknologi digital oleh Pusat STEM, Fakulti Sains dan Matematik, UPSI.

Melalui bas pendidikan ini, guru-guru berpeluang untuk merasai pengalaman mengikuti pembelajaran melalui teknologi Virtual Reality (VR) dalam pembelajaran konsep berkaitan STEM.

Peluang ini membolehkan guru mendapat inspirasi untuk memanfaatkan teknologi dalam proses pengajaran, terutama dalam konteks pembelajaran luar bilik darjah.

Slot ketiga pula menumpukan kepada “Integrasi Teknologi Digital dalam Pengajaran.” Sesi yang dikendalikan oleh Dr Muhamad Ikhwan Mat Saad dan Nur Alia Syazreen Kamarol Idzham ini  memberi pengetahuan praktikal kepada guru-guru untuk mengaplikasikan teknologi secara kreatif dan inovatif, sesuai dengan kehendak pelajar abad ke-21.

Pelbagai maklum balas positif diberikan oleh guru-guru setelah mengikuti slot ketiga ini yang berfokus kepada penggunaan perisian ChatGPT dalam menyediakan bahan bantu mengajar interaktif bagi proses pengajaran yang dikhendalikan oleh guru-guru antaranya mereka amat berpuas hati dan meminta program seperti ini diteruskan dari semasa ke semasa terutama bagi guru baharu.

Pada sebelah petang, slot keempat yang bertemakan “Implementasi Pendidikan Berasaskan Masalah Mod Campuran (PBMMC)” dikendalikan oleh Dr Mohd Mokhzani Ibrahim dan Dr Mohamad Termizi Borhan yang berfokus kepada pendekatan pembelajaran yang berpusatkan pelajar dengan integrasi teknologi digital.

Sesi bergambar dengan para peserta

Pendekatan ini menggalakkan pelajar untuk mengenal pasti masalah dan mencari penyelesaian secara kolaboratif, yang bukan sahaja meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi, tetapi juga membina keyakinan diri mereka.

Guru-guru yang menyertai slot ini menyatakan keyakinan untuk melaksanakan pendekatan ini di sekolah masing-masing.

Program diakhiri dengan sesi penyerahan sijil kepada peserta sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka.

Sesi maklum balas turut diadakan untuk mendapatkan pandangan peserta mengenai program ini. Kebanyakan peserta memberikan respon positif, terutama berkaitan dengan nilai ilmu yang diperoleh dan manfaat praktikal yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran harian mereka.

Secara keseluruhan, program ini telah berjaya mencapai objektifnya dengan memberikan pendedahan mendalam kepada guru-guru tentang kepentingan inovasi dan teknologi dalam pendidikan.

Melalui pelaksanaan program ini, para pendidik bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran mereka, tetapi juga berupaya untuk mencorakkan pendidikan masa depan yang lebih dinamik dan inklusif.

Kejayaan program ini mencerminkan komitmen UPSI dan PPD Kuala Kangsar dalam merealisasikan Pelan Perak Sejahtera 2030, dengan menjadikan pendidikan sebagai platform utama untuk pembangunan negeri yang lebih sejahtera dan progresif.