Oleh: Mohd Fahmi Mohd Yunus
Kuala Lumpur – Malam Puisi Riong 2024 menyaksikan kecemerlangan secara bersama pelajar UPSI dalam penyertaan pertandingan. Tiga penyertaan daripada UPSI iaitu Elvienie Petrus, Aiman Afiq Ismail dan kumpulan Adiwangsa Pujangga cemerlang kedudukan lima teratas daripada lapan finalis bagi merebut kemenangan dalam Pertandingan Puisidra sempena Malam Puisi Riong 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir. Pertandingan yang julung kali diadakan ini menjadi acara apresiasi puisi BH membabitkan pelajar universiti awam (UA) dimulakan seawal 9 pagi di Sudut Karyawan, Bangunan DBP.
Turut berentap di peringkat akhir pada sebelah pagi ialah Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS), PENA T3RUNA, Penangwasa dan Kelab Teater Rimba Artisukma Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Puisidra merupakan konsep pertandingan yang menggabungkan dua elemen iaitu puisi dan drama memerlukan kemahiran para peserta dalam menyampaikan puisi dengan suntikan drama serta elemen kreatif bagi merebut hati para juri. Bertemakan ‘Malaysia Madani’ pertandingan ini dianjurkan dalam mendorong semangat patriotisme, aspirasi dan penghargaan terhadap tanah air.
Aiman Afiq Ismail berjaya mendapat Naib Johan membawa pulang wang tunai RM2000 manakala Elvienie Petrus tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM1000 manakala Adiwangsa Pujangga mendapat saguhati pulang bersama wang tunai RM500. Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid. “Cabaran dalam menyampaikan puisi bersama lakonan adalah suatu pengalaman baharu bagi saya dimana ia menuntut saya serta rakan-rakan dari UPSI untuk menterjemahkan karya kami ke dalam bentuk lakonan dan ia merupakan titik tolak yang baik bagi evolusi penyampaian puisi yang menurut saya mampu menarik pelbagai golongan terutamanya generasi muda dalam seni sastera namun harus kita kekalkan seni bahasa sastera sebagai usaha membudayakan sastera dalam kalangan masyarakat .”