Oleh: Aishatul Hani Ahmad Puad
Tanjong Malim, 17 November 2024 – Program Dunia Sihat “Being Healthy with Us” di bawah anjuran Ahli Jawatankuasa Blok Kediaman 4, Kolej Harun Aminurrashid sidang 2024/2025, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung dengan jayanya.
\Program ini bertambah meriah dengan kehadiran hampir 200 penghuni kolej yang turut serta menyemarakkan suasana.
Program Dunia Sihat “Being Healthy with Us” adalah program Zumba bertemakan “Pinky Girl” yang dianjurkan sebagai satu inisiatif untuk memberi peluang kepada penghuni kolej menyertai aktiviti yang menyeronokkan sambil meningkatkan kecergasan fizikal dan kesihatan secara keseluruhan.
Program Dunia Sihat ini, bertujuan membantu penghuni melepaskan tekanan dan stres melalui aktiviti fizikal yang menyeronokkan serta mengisi masa lapang dengan program yang bermanfaat. Aktiviti ini mendorong amalan gaya hidup sihat dalam suasana yang santai dan bertenaga.
Selain itu, program ini menyediakan peluang untuk penghuni berinteraksi dan mengukuhkan hubungan sosial antara satu sama lain. Dengan pendekatan ini, ia bukan sahaja meningkatkan kesihatan fizikal dan mental, tetapi juga membina semangat komuniti yang lebih erat.
Dengan tema yang feminin dan ceria, penghuni digalakkan mengenakan pakaian atau aksesori berwarna merah jambu, seperti set pakaian sukan, headband, dan lain-lain, bagi mencipta suasana yang penuh keceriaan dan bertenaga.
Melalui aktiviti ini, diharapkan para peserta akan lebih terdorong untuk kekal aktif dalam suasana yang menggembirakan dan penuh semangat.
“Tujuan program ini diadakan adalah untuk bersama-sama melepaskan tekanan sambil bersenam dengan tema merah jambu. Saya berharap semua dapat menikmati program ini sepenuhnya dan menjaga keselamatan diri semasa melakukan aktiviti zumba supaya tidak cedera,” kata Maythinee Eh Cium, Pengarah Program Dunia Sihat.
Program ini turut hadir Dr Maskanatul Fiqiyah selaku Felo Blok Kediaman 4 bagi merasmikan program tersebut. Dr Maskanatul juga memberi nasihat dan pendedahan kepada penghuni tentang penjagaan kulit dan juga kesihatan.
Beliau menekankan bahawa sukan memainkan peranan penting dalam merangsang pengeluaran hormon bahagia seperti endorfin yang membantu meningkatkan mood dan mengurangkan stres, serotonin yang menyumbang kepada keseimbangan emosi, serta dopamin yang berperanan dalam meningkatkan motivasi.
Secara keseluruhan, penglibatan dalam aktiviti sukan dapat mengurangkan risiko penyakit mental dan menyumbang kepada kesejahteraan psikologi.
Selain itu, beliau juga menegaskan kepentingan menghindari pendedahan sinar matahari berlebihan dan penggunaan produk kecantikan secara berhati-hati.
Kulit mempunyai keupayaan semula jadi untuk pulih tanpa bahan berlebihan. Nasihat ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kulit yang holistik, sihat, dan selaras dengan fungsi semula jadi untuk kesejahteraan jangka panjang.
Akhir kata, Dr. Maskanatul Fiqiyah berharap program ini diteruskan demi memastikan penghuni kekal sihat, aktif, dan menjadikan sukan sebagai amalan konsisten untuk mencapai kehidupan yang lebih sihat, harmoni, dan bahagia.