Oleh: Siti Zulaika Abu Bakar & Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib

Tanjong Malim, 21 November – Seramai 40 orang pelajar dan empat orang guru pengiring SMK Sultan Abdul Jalil, Kluang, Johor menjalankan aktiviti lawatan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK). Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Jabatan Geografi, Prof. Madya Dr. Hanifah Mahat serta bersama-sama dengan Prof. Madya Dr. Yazid Salleh.

Program ini diadakan dengan tujuan untuk menyuntik semangat serta menambah ilmu pengetahuan kepada pelajar Tingkatan 6. Para pelajar diberikan motivasi dan inspirasi untuk memahami pilihan kerjaya mereka selepas tamat peperiksaan STPM, khususnya dalam bidang yang mereka minati. Program ini juga bertujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang prospek kerjaya khususnya dalam bidang Geografi. Selain itu, program ini menyediakan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan pensyarah yang berpengalaman. Pensyarah berkongsi pandangan dan nasihat berharga mengenai pendidikan tinggi dan dunia pekerjaan. Ini akan memberi pelajar gambaran yang lebih jelas tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengejar kerjaya yang diidamkan. Tambahan pula, sesi soal jawab yang diadakan ini membolehkan pelajar mengajukan pertanyaan mengenai isu-isu berkaitan dengan pendidikan semasa, sekaligus menjalin hubungan yang lebih erat antara pelajar dan pensyarah dari Jabatan Geografi.

Program bermula dengan pelajar mengunjungi Muzium Nasional, UPSI yang menyimpan sejarah tokoh-tokoh sejak zaman dahulu serta dapat melihat seni bina bangunan lama yang berusia lebih 100 tahun dan dahulunya merupakan penempatan bilik-bilik kuliah. Seterusnya, pergerakan pelajar ke Perpustakaan Tuanku Bainun dan mereka berpeluang untuk mengetahui setiap ruang yang terdapat di perpustakaan bagi kegunaan semua mahasiswa, mahasiswi UPSI. Bangunan yang terakhir mereka jelajah ialah Makmal Geografi dan pelajar berpeluang melihat pelbagai peralatan dan teknologi yang digunakan untuk kajian lapangan dalam bidang geografi.

Dengan pendekatan interaktif ini, diharapkan pelajar Tingkatan 6 dapat meningkatkan keyakinan diri, membangunkan kemahiran komunikasi, serta mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk merancang masa depan mereka dengan lebih baik. Program ini bukan sahaja bermanfaat dari segi akademik, tetapi juga memberi sumbangan positif kepada perkembangan diri pelajar dalam menghadapi cabaran di dunia moden. Pihak universiti mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak SMK Sultan Abdul Jalil, Kluang Johor kerana sudi datang ke UPSI. Terima kasih juga buat majlis tertinggi dan ahli jawatankuasa pelaksana Persatuan Geografi kerana menguruskan program ini dari awal sehingga akhir. Lawatan sambil belajar ini diharapkan memberi manfaat kepada pelajar serta dapat meningkatkan interaksi sosial antara pelajar UPSI dengan pelajar sekolah.