Oleh: Ummikalsum Mat Lazim
Tanjung Malim– Sesi ramah mesra yang diadakan baru-baru ini antara Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff, bersama para pensyarah serta mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan (AT36) telah menjadi satu platform yang amat berharga bagi mencetuskan semangat dan inspirasi kepada generasi huffaz UPSI serta memberikan peluang kepada pensyarah dan mahasiswa untuk berinteraksi dan berkongsi pandangan secara langsung dengan pihak tertinggi universiti.
Majlis ini diadakan di Bangunan E-Learning 8, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Kehadiran Prof. Dato’ Dr Naib Canselor ke program ini memberikan suntikan semangat kepada semua warga Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami yang terdiri daripada 30 orang pensyarah dan 238 orang mahasiswa AT36.
Majlis bermula dengan sesi ucapan aluan daripada Profesor Dr Azmil Hashim, Pengarah Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI). Prof. Dato’ Dr Naib Canselor turut memberikan ruang kepada Azim Kasri selaku YDP Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Ustazah Ummikalsum Mat Lazim selaku guru tahfiz serta Prof. Madya Dr Ibrahim Hashim selaku Penyelaras Akademi Pondok Bitara bagi memberikan ucapan. Sebelum majlis berakhir, YBhg. Prof. Dato’ Dr Naib Canselor juga turut membuka ruang dan peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk bersoal jawab dan memberikan pandangan serta cadangan dalam menaikkan keunggulan IPTTI dipersada negara dan antarabangsa.
Pertemuan ini menyaksikan Dato’ Naib Canselor berkongsi pesanan-pesanan penting kepada para pelajar yang sedang mengembara di jalan ilmu dalam bidang tahfiz al-Quran dan qiraat di UPSI. Dalam suasana yang penuh keakraban dan semangat kekeluargaan, Prof. Dato’ Dr. Md. Amin turut berkongsi lima pesanan utama yang diharap dapat membimbing pelajar dalam mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pengajian serta kehidupan mereka kelak. Lima pesanan tersebut adalah pertama adab, akhlak dan akademik, kedua ilmu dan amal, ketiga minda inovasi, keempat minda global, dan kelima cinta dan bangga UPSI.
“Teruslah berusaha dan teruskan perjuangan untuk kecemerlangan dan hala tuju IPTTI dalam meneroka peluang yang ada demi kelestarian bidang tahfiz dipersada negara dan antarabangsa. UPSI akan sentiasa komited untuk membantu memajukan bidang tahfiz dalam fasiliti, kewangan, kepakaran dan lain-lain bentuk kerjasama yang diperlukan”.