Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon & Pollie Lim Poh Yue
Serdang, Selangor – Pada 24 Oktober 2024, telah berlangsung Karnival Pendidikan STEMADANI 2024 (Pertandingan Inovasi) anjuran Majlis Dekan Pendidikan IPTA yang bertempat di Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Seramai 3 orang mahasiswi program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) Wan Noor Azizah Wan Shamsuri, Siti Aisyah Nabila Kholizan dan Pollie Lim Poh Yue serta 3 orang pelajar pascasiswazah Zhang Hao Yue (pelajar antarabangsa), Cikgu Suresh Kumar A/L Kuppusamy dan Cikgu Chong Ai Peng terlibat dalam pertandingan tersebut.
Menurut ketua pasukan Karnival Pendidikan Stemadani Dr. Vestly Kong Liang Soon, penyertaan dalam pertandingan inovasi ini bertujuan untuk memberikan pengalaman dan ilmu pengetahuan kepada pelajar AT10 dalam bidang inovasi. Selain itu, pertandingan ini diharap dapat menyuntik semangat dalam diri mahasiswa/wi AT10 dalam kreativiti penghasilan bahan bantu mengajar untuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
Di bawah bimbingan dan penyeliaan Dr. Vestly Kong Liang Soon juga merupakan penasihat Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK). Sebanyak 4 penyertaan telah dihantar dan berjaya memenangi 2 pingat perak dan 2 pingat gangsa.
Pertandingan ini merupakan penanda aras untuk membantu memberikan pendedahan dan ilmu pengetahuan kepada mahasiswa AT10 dalam bidang inovasi serta penghasilan bahan bantu mengajar yang lebih inovatif untuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima anugerah dalam pertandingan inovasi Stemadani 2024. Semoga mahasiswa AT10 dapat mengekalkan momentum ini dan dapat menjadi insan yang cemerlang dan holistik malah sentiasa mengharumkan nama persatuan dan jabatan pada masa yang akan datang.