Oleh: Dr. Wan Nurul Huda Wan Ab Kadir

Tanjong Malim: Kursus Pengajaran dan Pembelajaran Sains yang dipelajari oleh oleh guru pelatih UPSI menerapkan pembelajaran Sains yang kreatif dan inovatif agar dapat menghasilkan suatu pembelajaran yang menarik apabila guru pelatih UPSI mengajar di sekolah nanti. Peranan muzik dalam pembelajaran Sains sebagai salah satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran Sains yang kreatif, menarik dan bermakna kepada murid-murid di sekolah nanti. Guru pelatih UPSI hadir dengan teknik pengajaran Sains yang diberi nafas baharu melalui penerapan elemen musik semasa proses pengajaran dan pembelajaran Sains bersama murid.

Sebagaimana yang kita ketahui, murid-murid mempunyai pelbagai kecerdasan dan salah satu kecerdasan adalah melalui musik. Kecerdasan musik membolehkan murid menghasilkan idea baharu melalui irama, melodi, atau lirik. Ia memberi peluang kepada mereka untuk mengekspresikan diri secara kreatif dan membina keyakinan diri. Dalam pembelajaran Sains, suntikan musik memberikan banyak kebaikan kepada murid-murid khasnya. Muzik membantu murid-murid mengingati konsep-konsep yang penting dalam Sains melalui lirik, melodi, atau irama yang menarik. Proses ini membentuk hubungan emosi yang kukuh dengan maklumat yang diajar, menjadikan pemahaman tentang sesuatu konsep Sains lebih mendalam.

Selain itu, murid dengan kecerdasan muzik yang tinggi akan lebih cenderung untuk mengingati fakta atau maklumat dengan lebih baik melalui irama ataupun lagu. Ini sangat berguna untuk menghafal konsep penting dalam subjek Sains. Irama dan melodi pada musik juga dapat memudahkan dan membantu pelajar mengingati fakta dan konsep Sains untuk jangka masa yang panjang, terutama menjelang peperiksaan.

Pembelajaran Sains berasaskan musik juga dapat memupuk gaya pembelajaran auditori. Murid dengan kecerdasan muzik yang tinggi cenderung lebih baik dalam pembelajaran berasaskan pendengaran. Ini memudahkan mereka memahami arahan, penjelasan lisan, atau konsep yang dijelaskan melalui suara. Pembelajaran Sains melalui kaedah musik juga dapat merangsang kedua-dua belah otak (hemisfera kiri dan kanan) dan sekaligus membantu meningkatkan kemahiran kognitif, memori, dan daya tumpuan murid terhadap mata Pelajaran Sains khasnya.

Rancangan Pembelajaran Harian (RPH) yang mengadaptasikan pembelajaran Sains yang inovatif melalui aplikasi muzik

Penggunaan muzik dalam pembelajaran Sains dapat menghasilkan sesi pengajaran dan pembelajaran Sains yang aktif. Murid bukan sahaja mendengar tetapi juga berinteraksi dengan bahan pembelajaran melalui nyanyian, gerakan, atau pembuatan lagu berasaskan fenomena ataupun teori yang terdapat dalam subjek Sains. Melalui penerapan kaedah muzik dalam pengajaran dan pembelajaran Sains juga, akan mendorong murid untuk mencipta lagu atau lirik yang berkaitan dengan topik Sains. Aktiviti ini melibatkan proses kreatif yang membantu mereka melihat konsep Sains dari perspektif baharu dan menyeronokkan.

Tambahan lagi, pembelajaran Sains dengan integrasi musik dapat merangsang minat dan motivasi pelajar terhadap subjek Sains yang dikatakan agak sukar dan abstrak. Ini disebabkan muzik mencipta suasana yang menyeronokkan dan tidak membosankan semasa belajar Sains. Pelajar lebih berminat untuk belajar apabila bahan pembelajaran disampaikan dengan cara kreatif dan menyeronokkan dan sekaligus dapat memudahkan murid untuk menerima sesuatu pembelajaran.

Sebagai contoh, guru pelatih UPSI Cikgu Nurul ‘Arifah Zainalarifin menggunakan pengajaran Sains dengan teknik nyanyian dan bermain gitar. Guru ini juga telah mencipta lagu berkaitan tajuk pembelajaran Sains ‘Piramid Makanan’. Melalui nyanyian dan lirik lagu ini akan memudahkan murid mengingati pembelajaran Sains bagi tajuk ‘Piramid Makanan’ dan sekaligus dapat menghasilkan pembelajaran Sains yang menarik, bermakna dan tidak membosankan.