oleh: Dr Mohamad Termizi Borhan

BANGI, 23 November 2024 – Satu pertemuan rasmi telah diadakan antara Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar, Perak; dan Manebi, sebuah syarikat pemula teknologi (start-up) yang berpangkalan di Tokyo, Jepun.

Pertemuan ini, yang berlangsung di Tan Sri Lee Lam Thye Hall, National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH), Bandar Baru Bangi, Selangor, bertujuan meneroka potensi integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pendidikan Malaysia, terutamanya dalam konteks pendidikan tinggi dan pembelajaran di peringkat sekolah.

Manebi, ditubuhkan pada tahun 2013, merupakan syarikat inovatif yang pakar dalam pembangunan platform digital dan aplikasi berasaskan AI.

Encik Kenta Kato dan  Encik Tajima menunjukkan demonstrasi platform pendidikan digital terintegrasi AI  kepada Encik Azneezal Ar Rashid Mohd Ramli, Dr. Mohamad Termizi Borhan dan  Dr. Muhamad Ikhwan Mat Saad.

Dalam pertemuan ini, syarikat tersebut diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Tajima, dan rakan sekerjanya, Encik Kenta Kato.

Delegasi UPSI pula diwakili oleh barisan tenaga akademik dari FSM yang terdiri daripada Dr. Mohamad Termizi Borhan, Dr. Ahmad Muslihin Ahmad, Dr. Muhamad Ikhwan Mat Saad, Dr. Muhamad Safuan Mat Yeng @ Mat Zin, dan Dr. Mohd Mokhzani Ibrahim.

PPD Kuala Kangsar turut menghantar wakilnya, Encik Azneezal Ar Rashid Mohd Ramli, untuk menyumbang kepada perbincangan strategik ini.

Dalam sesi tersebut, pihak Manebi telah menyampaikan pembentangan komprehensif mengenai visi dan keupayaan teknologi mereka.

Encik Kenta Kato memberi penerangan terperinci berkenaan platform digital berasaskan AI yang dibangunkan oleh Manebi, diikuti dengan demonstrasi secara langsung untuk memperlihatkan fungsi serta aplikasinya dalam pendidikan.

Pihak Manebi turut menekankan potensi kerjasama dengan institusi pendidikan Malaysia bagi memastikan kandungan platform mereka dapat disesuaikan dengan keperluan tempatan

Aspirasi UPSI turut diketengahkan dalam pertemuan ini, sejajar dengan matlamat Dasar Pendigitalan Negara (DPN).

Konsep BITARA yang diperkenalkan UPSI dikaitkan dalam perbincangan konstruktif ini yang menumpukan pada inovasi dan transformasi teknologi, termasuk kecerdasan buatan, untuk meningkatkan ekosistem pendidikan di peringkat nasional.

Pendekatan ini bukan sahaja seiring dengan arus globalisasi teknologi tetapi juga bertujuan memastikan pendidikan Malaysia kekal relevan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Dr. Mohamad Termizi Borhan daripada FSM, UPSI, memberikan respons yang positif terhadap teknologi yang diperkenalkan oleh Manebi.

Beliau menekankan bahawa kecerdasan buatan memiliki potensi besar untuk menangani pelbagai cabaran pendidikan di Malaysia, khususnya dalam aspek latihan guru pra-perkhidmatan dan dalam perkhidmatan.

Menurut beliau, pendekatan berasaskan AI dapat membantu memenuhi keperluan individu, sekali gus memperkasakan pembangunan profesional guru.

Pandangan ini disokong oleh Encik Azneezal Ar Rashid Mohd Ramli, yang menegaskan bahawa AI mampu menyediakan pengalaman pembelajaran terbeza (differentiated learning), yang perlu dijana dan diadunkan bersesuaan dengan keperluan khusus setiap murid. Keupayaan kecerdasan buatan diperlukan bagi menghubungkan keperluan ini.

Selain itu, pertemuan ini turut membincangkan langkah-langkah strategik bagi mewujudkan kerangka kerja kolaborasi yang lebih komprehensif.

Ini termasuk pembangunan kurikulum berasaskan teknologi AI, pelaksanaan penyelidikan bersama, dan pembangunan modul pembelajaran yang dapat diterapkan di semua peringkat pendidikan, dari sekolah rendah hingga universiti.

Wakil FSM turut menyatakan bahawa pendekatan inovatif yang diambil oleh Manebi selaras dengan aspirasi nasional seperti Dasar Pendigitalan Negara (DPN), Revolusi Industri 4.0, dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Pertemuan ini mencerminkan kesungguhan UPSI dan pihak berkepentingan lain dalam mengukuhkan kerjasama dengan industri teknologi antarabangsa.

Barisan hadapan (dari kiri): Encik Azneezal Ar Rashid Mohd Ramli (PPD Kuala Kangsar, Perak), Dr. Mohamad Termizi Borhan (UPSI), dan Encik Tajima (Manebi).
Barisan belakang (dari kiri): Encik Kenta Kato (Manebi), Dr. Muhamad Ikhwan Mat Saad (UPSI), dan Dr. Ahmad Muslihin Ahmad (UPSI).

Penerapan kecerdasan buatan diharapkan dapat memperkasa sistem pendidikan Malaysia, meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, serta membentuk generasi pelajar dan pendidik yang berdaya saing dan kompetetif selari dengan permintaan dan pasaran tenaga kerja global pada era digital ini.