oleh: Dr Noraine Salleh Hudin, En Zahid Mat Said dan Dr Fatimah Azzahra Ahmad Rashid
Tanjung Malim, 27 November 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuhkan komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar melalui Program Penghijauan Kampus UPSI yang berlangsung hari ini.
Program ini berjaya menghimpunkan pelbagai pihak termasuk badan korporat, institusi akademik, dan pertubuhan alam sekitar dalam usaha menyemai kesedaran ekologi dan memelihara biodiversiti.
Ditaja oleh Rohto Mentholatum Sdn Bhd yang merupakan syarikat pengeluar produk kosmetik terkemuka Hada Labo, program ini melibatkan penanaman sebanyak 1,500 pokok kelat paya (Eugenia oleina) di kawasan kampus UPSI.
Dengan dana sumbangan sebanyak RM20,000, program ini mendapat kerjasama erat daripada Malaysian Nature Society serta pusat tanggungjawab di UPSI iaitu Center of Biodiversity and Conservation (CeBEC), Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB), dan Kelab Rakan Alam Sekitar.
Ucapan aluan disampaikan oleh Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersilan), Fakulti Sains dan Matematik, Dr. Fatimah Azzahra Ahmad Rashid, yang mewakili UPSI.
Beliau menekankan pentingnya kerjasama antara universiti, industri, dan masyarakat dalam menjayakan usaha pemeliharaan alam sekitar.
Perasmian program ini telah disempurnakan oleh Pengurusan Pemasaran Rohto Mentholatum Sdn Bhd, Cik Toh Tee Shien, yang turut menyampaikan penghargaan kepada pihak universiti atas peluang untuk bersama-sama menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata, “Harapan kami adalah untuk mendemonstrasikan bagaimana ruang bandar boleh diintegrasikan dengan amalan hijau dan seterusnya memberikan inspirasi pembangunan mampan kepada pelajar dan masyarakat”.
Sebanyak 80 orang pelajar UPSI turut mengambil bahagian dalam program ini, menjadikannya satu platform yang bukan sahaja mendekatkan pelajar dengan usaha pemeliharaan alam sekitar tetapi juga mendidik mereka tentang kepentingan menjaga keseimbangan ekosistem.
Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pelbagai lagi inisiatif hijau di peringkat universiti dan komuniti, sejajar dengan usaha global untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).