Dataran Cemerlang Bersama, 25 November 2023 – Varsity Peskon 25 Neon Run 2023 mencatat sejarah sebagai program sukan yang dikelolai sepenuhnya oleh mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program unik ini diadakan dengan penuh meriah, melibatkan penyertaan seramai 692 peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk komuniti Muallim, institusi pengajian tinggi (IPT) lain, serta mahasiswa UPSI sendiri.

Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin menandakan sokongan penuh pihak universiti terhadap inisiatif mahasiswa dalam memacu aktiviti berimpak tinggi yang menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Sukan dan Gaya Hidup Sihat

Varsity Peskon 25 Neon Run memfokuskan aktiviti larian malam sejauh 5 kilometer, dengan elemen neon yang menjadikan pengalaman peserta lebih menyeronokkan dan unik. Acara ini bukan sekadar larian tetapi turut menjadi platform mempererat hubungan antara komuniti setempat dan mahasiswa melalui aktiviti sihat.

Peserta dilihat begitu teruja mengenakan pakaian bertemakan neon sambil menikmati suasana malam yang dihiasi lampu-lampu berwarna-warni. Selain itu, stesen hiburan di sepanjang laluan larian menceriakan suasana, menjadikan acara ini lebih menyeronokkan.

Penglibatan Mahasiswa dalam Penjanaan Dana
Apa yang membanggakan, Varsity Peskon 25 Neon Run menjadi program sukan pertama di UPSI yang sepenuhnya dikendalikan oleh mahasiswa, termasuk dari segi perancangan, promosi, dan penjanaan dana. Inisiatif ini memperlihatkan kemahiran kepimpinan dan keusahawanan mahasiswa UPSI dalam menjayakan program berskala besar.

“Program ini adalah manifestasi semangat mahasiswa UPSI yang kreatif, inovatif, dan mampu menggerakkan komuniti dengan impak positif,” kata Timbalan Naib Canselor dalam ucapan perasmiannya.

Varsity Peskon 25 Neon Run 2023 bukan sahaja berjaya memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti, tetapi juga membuktikan kemampuan mahasiswa UPSI sebagai penggerak utama dalam melaksanakan program yang mendukung nilai-nilai gaya hidup sihat.

Dengan kejayaan ini, Varsity Peskon diharapkan akan menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan dan terus memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.