Oleh: Nur Liyana Mohd Badwi
Tanjong Malim, 24 November- Persatuan Pendidikan Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (PPI) bagi sidang 2024/2025 telah menganjurkan sebuah program besar yang diberi nama Hablul Mausul PPI. Program ini telah dilaksanakan di Dewan Kuliah Pusat 5 (DKP 5) UPSI dan turut melibatkan penyertaan aktif dari semua mahasiswa Persatuan Pendidikan Islam terutamanya pelajar semester satu. Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Nur Ainul Basyirah Alias, yang merupakan penasihat kepada Persatuan Pendidikan Islam UPSI.
Hablul Mausul Persatuan Pendidikan Islam bukan sahaja bertindak sebagai program perasmian bagi Usrah Ithic dan Usrah Batch, malah ia juga berfungsi sebagai sebuah program orientasi yang sangat penting bagi pelajar semester satu dalam mempersiapkan mereka untuk menempuh cabaran sebagai mahasiswa di universiti. Tujuan utama program ini adalah untuk memperkukuh hubungan ukhuwah dalam kalangan pelajar baru, terutamanya dalam kalangan mahasiswa semester satu, dengan harapan mereka dapat merasakan keterikatan yang kuat antara satu sama lain sebagai satu keluarga besar dalam Persatuan Pendidikan Islam.
Program ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat yang menguji fokus, ketahanan mental, serta memupuk semangat kerjasama dan solidariti peserta. Aktiviti-aktiviti dirancang untuk merangsang pemikiran kritis, memperkasa jati diri, dan membantu peserta menjadi individu cemerlang, bukan sahaja secara akademik tetapi juga bijak menangani isu sosial dengan bertanggungjawab. Melalui program sebegini, mahasiswa/i bukan sahaja berpeluang untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran akademik, tetapi juga diberikan peluang untuk membentuk akhlak dan keperibadian yang lebih baik, sekaligus mempersiapkan mereka untuk menjadi pendidik yang holistik dan berkualiti di masa hadapan.
Semoga insiatif kecil ini mampu memberikan impak kepada kekuatan jati diri mahasiwa muslim, UPSI pada masa akan datang.