Oleh: Shahaniza Shamsuddin

Tanjong Malim, 16 November- Persatuan Wanita (PEWARIS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah Wanita bertempat di Dewan Jauhar, NCDRC, UPSI. Kursus ini berjaya menarik penyertaan seramai 26 peserta, terdiri daripada pelajar, warga UPSI dan komuniti Daerah Muallim yang berminat untuk memperdalam ilmu berkaitan pengurusan jenazah khusus untuk wanita.

Latihan amali pengurusan jenazah

Kursus ini menampilkan dua penceramah berpengalaman, iaitu Ustazah Teh Azizan Hassan dan pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) Dr Nor Yazidah Yahya, yang berkongsi ilmu serta memberikan panduan praktikal tentang aspek-aspek penting dalam pengurusan jenazah wanita. Sepanjang kursus, para peserta didedahkan dengan teori dan amali tentang pengurusan jenazah, bermula dari persediaan, memandikan, mengkafankan, sehingga solat jenazah. Latihan amali yang dijalankan turut memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan pengalaman secara langsung dalam melaksanakan tugas yang penuh tertib ini.

Pengarah Program, Norzuhaidah Mohamed Zain menyatakan bahawa kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pemahaman yang mendalam kepada masyarakat khususnya golongan wanita tentang tanggungjawab mereka dalam menguruskan jenazah, sejajar dengan tuntutan agama.

Ustazah Teh menunjukkan langkah-langkah mengkafan jenazah

Seorang peserta, Nur Syamirah Shamsuddin, menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada penganjur kerana menyediakan kursus ini. “Ilmu yang saya peroleh hari ini sangat bermakna, dan saya rasa lebih yakin untuk membantu keluarga atau masyarakat jika diperlukan kelak,” katanya.

Kursus ini mencerminkan usaha PEWARIS UPSI dalam memartabatkan ilmu dan amalan Islam dalam kalangan warga kampus dan masyarakat. Program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penyertaan yang lebih meluas.