Oleh: Intan Farahana Abdul Rani

Tanjung Malim – Hari Kanak-Kanak Sedunia yang diraikan setiap tahun pada 20 November adalah satu peluang untuk kita meraikan keunikan kanak-kanak di seluruh dunia serta mengiktiraf hak dan kebajikan mereka. Sambutan ini bermula pada tahun 1954 apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan Hari Kanak-kanak Sedunia sebagai usaha untuk mempromosi kesedaran hak kanak-kanak dan memperbaiki kebajikan mereka di seluruh dunia.

Tema Hari Kanak-Kanak Sedunia 2024, ‘Listen to the Future’ yang diangkat oleh UNICEF, menekankan pentingnya mendengar suara generasi muda dalam membentuk masa depan yang lebih baik. Di Malaysia, sambutan ini mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak, termasuk institusi pendidikan seperti Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), UPSI.

Sebagai pusat kecemerlangan dalam pendidikan awal kanak-kanak, NCDRC UPSI sentiasa memainkan peranan aktif dalam menyemai potensi dan inspirasi dalam diri kanak-kanak. Melalui pelbagai program inovatif, NCDRC berusaha memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang untuk berkembang dengan optimum, sejajar dengan misi untuk membina generasi masa depan yang berkualiti.

NCDRC UPSI akan menganjurkan sambutan Hari Kanak-Kanak pada 3 hingga 4 Disember 2024. Sambutan ini bukan sahaja meraikan keajaiban kanak-kanak tetapi juga berfungsi sebagai platform untuk menyampaikan mesej penting kepada masyarakat tentang hak dan potensi kanak-kanak.

Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang, antaranya yang akan berlangsung pada 3 Disember ini, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak berumur 5-6 tahun, pertandingan bercerita bagi kanak-kanak 5-6 tahun dan forum dan webinar yang menampilkan pakar pendidikan awal kanak-kanak. Manakala pada 4 Disember pula akan berlangsung Family Fun Walk bertemakan ‘Listen to the Future’ yang melibatkan keluarga dan komuniti.

NCDRC UPSI juga mengambil langkah untuk memperluaskan mesej Hari Kanak-kanak Sedunia melalui pelbagai inisiatif di peringkat negeri Perak khususnya Daerah Muallim. Kempen ini bertujuan menyampaikan mesej penting tentang memupuk potensi dan inspirasi generasi muda. Aktiviti ini tidak hanya meraikan kanak-kanak tetapi juga membina kesedaran masyarakat tentang tanggungjawab bersama dalam membina masa depan mereka.

Hari Kanak-kanak Sedunia adalah masa untuk meraikan, melindungi, dan menyokong kanak-kanak – permata berharga dunia. Dengan tema tahun ini, ‘Listen to the Future’ kita diajak untuk mendengar dan memberi ruang kepada suara mereka. NCDRC UPSI, dengan usaha murni mereka, terus menjadi peneraju dalam membina asas kukuh untuk generasi akan datang.