Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon dan Siti Mariam binti Zulkipli

Tanjong Malim – Pada 4 Januari 2025, Majlis Tertinggi I-KOPTA II AT10 1.0 bersama  Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK) telah berkolaborasi untuk melaksanakan sebuah program kolokium dan forum mencorak potensi dan membina generasi. Program ini bertempat di kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dihadiri oleh 106 orang yang terdiri daripada 11 orang pensyarah, 51 orang pembentang, 11 orang ahli jawatankuasa PM2PK dan 33 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas). Program ini juga telah dimeriahkan oleh kehadiran Profesor Dr. Abdul Rahim bin Razali selaku Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa). Selain itu, program ini juga telah menjemput dua orang panel dari luar negara iaitu Dr Ali Muhtarom, M.S.I (Magister Sains), Fakulti Tarbiyah dan Keguruan (FTK) Universitas Sultan Maulana Hasanudin, Banten, Indonesia dan Profesor Dr. David Evans dari Faculty of Arts and Social Sciences, University of Sydney yang mana kedua-dua panel ini telah memberikan ucapan khas sebagai tetamu kehormat di dalam program kolokium dan forum ini.

Program kolokium dan forum ini merupakan inisiatif yang diusahakan oleh pelajar Kursus Projek Tahun Akhir (KBR3923), Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama kerjasama daripada Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK). Program ini dianjurkan untuk memperkasa dan memperkayakan pengetahuan serta kemahiran peserta melalui perbincangan interaktif, perkongsian pengalaman dan pertukaran idea. Tema program ini ialah ‘mencorak potensi dan membina generasi’. Melalui kolokium ini, pelajar diberi peluang untuk mengembangkan potensi mereka secara holistik yang merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Pengalaman yang diperolehi dari pembentangan dan perbincangan dalam program ini dijangka dapat meningkatkan keyakinan diri dan profesionalisme pelajar, selain memperkuatkan asas kepimpinan mereka. Tambahan pula, program ini bukan sahaja menumpukan kepada kejayaan akademik tetapi juga kepada pembangunan kendiri pelajar sebagai individu yang mampu memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.

Kolokium dan forum ini mencerminkan komitmen UPSI untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi juga berupaya memikul tanggungjawab besar dalam mendidik dan membentuk generasi masa depan. Program ini menjadi simbol keprihatinan universiti terhadap pembangunan generasi muda yang bakal mencorak hala tuju pendidikan negara. Marilah kita bersama-sama menyokong dan menjayakan program ini demi memastikan ia memberikan impak positif yang berkekalan kepada para peserta dan masyarakat keseluruhannya.