Penulis: Prof. Madya Dr. Azizah Zain
Pada 24 Januari 2025, pasukan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mohd Azrin Mohd Nasir dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan lima orang penyelidik bersama iaitu Profesor Madya Dr. Norruzeyati Che Mohd Nasir (UUM) dan Profesor Madya Dr. Nor Hasimah Ismail (UUM), Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan (UPSI), Profesor Madya Dr. Azizah Zain (UPSI) dan Dr. Hapsah Md Yusof (UPSI) telah membentangkan hasil kajian bertajuk “Pembinaan Modul Interaktif Penerapan Nilai-Nilai Murni dalam Kalangan Kanak-Kanak Prasekolah.” Kajian ini merupakan usaha penting yang dibiayai melalui geran Penyelidikan Bahagian Pendidikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membentuk kesedaran integriti sejak usia awal.

Melalui kajian ini satu modul interaktif dibangunkan untuk membantu guru prasekolah menyemai nilai-nilai murni seperti amanah, jujur, baik hati, dan tidak mengambil hak orang lain. Modul ini menampilkan pendekatan pembelajaran menyeronokkan atau “Fun Learning” dengan memasukkan elemen interaktif dan kreatif bagi menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan melalui penghasilan buku cerita interaktif bertajuk “Sebuah Kejujuran.” Buku ini direka khusus untuk kanak-kanak prasekolah dan mengintegrasikan empat nilai murni utama, iaitu amanah, jujur, baik hati, dan tidak mengambil hak orang lain. Selain jalan cerita yang menarik, buku ini turut dilengkapi aktiviti interaktif seperti soalan berbentuk permainan, seperti kuiz dan aktiviti refleksi terhadap nilai-nilai yang dipelajari. Pendekatan ini membolehkan kanak-kanak memahami konsep nilai murni dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
Dalam sesi pembentangan tersebut, mereka menekankan pentingnya penerapan nilai-nilai murni pada peringkat awal sebagai strategi jangka panjang dalam pencegahan rasuah. Kerjasama erat antara SPRM, Universiti Utara Malaysia (UUM), dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dianggap sebagai langkah strategik dalam memastikan kejayaan inisiatif ini. SPRM, sebagai badan yang bertanggungjawab dalam meningkatkan kesedaran integriti dan pencegahan rasuah, memainkan peranan penting dalam memastikan modul ini dapat dimanfaatkan secara meluas di prasekolah seluruh negara.
Kajian ini berlandaskan keperluan untuk menyemai kesedaran integriti dalam kalangan generasi muda. Kanak-kanak prasekolah berada pada tahap perkembangan kritikal di mana pembentukan nilai dan akhlak paling berkesan. Oleh itu, penerapan nilai-nilai murni pada peringkat ini diharap dapat melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab dan beretika pada masa hadapan. Modul yang dibangunkan juga diharapkan menjadi rujukan utama bagi guru prasekolah dalam melaksanakan pendidikan nilai dengan cara yang menyeronokkan dan mudah difahami oleh kanak-kanak.

Melalui pembentangan ini, SPRM, UUM, dan UPSI berharap usaha bersama ini dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan integriti dan nilai-nilai murni. Kesedaran ini tidak hanya terbatas kepada kanak-kanak, tetapi juga melibatkan guru, ibu bapa, dan masyarakat secara keseluruhan. Impak yang diharapkan daripada kajian ini termasuk peningkatan kesedaran integriti pada peringkat awal, pengukuhan pendidikan nilai dalam sistem pendidikan, dan pengurangan kes rasuah di masa hadapan. Dengan menyemai nilai-nilai murni sejak kecil, generasi akan datang diharap lebih berdaya tahan terhadap pengaruh rasuah dan salah laku.
Sebagai langkah susulan, pasukan penyelidik bercadang untuk melaksanakan bengkel latihan kepada guru-guru prasekolah mengenai penggunaan modul ini, mengedarkan buku “Sebuah Kejujuran” ke prasekolah terpilih bagi mendapatkan maklum balas awal, dan menjalankan kajian lanjutan untuk menilai keberkesanan modul dalam meningkatkan pemahaman dan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak. Kajian ini membuktikan bahawa dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk institusi pendidikan dan badan kerajaan, nilai-nilai murni dapat diterapkan secara berkesan dalam kalangan generasi muda. Ini adalah satu langkah kecil tetapi signifikan dalam membentuk masyarakat yang lebih berintegriti pada masa hadapan.