Oleh: Dr. Shakila Che Dahalan dan Nursila Abdul

Perak, 12 Disember 2024 – Dalam usaha untuk memperkukuhkan kefahaman pengajaran sejarah melalui pendekatan inovatif dan komuniti, Kursus Pelaksanaan Pengajaran Sejarah HSP3053 di Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusian, telah melaksanakan Program SULAM dengan tema “Pendekatan Inovatif Artificial Intelligence (AI) Kalis Masa Depan dalam Pengajaran Sejarah”. Program yang dilaksanakan pada bulan Disember 2024 lepas ini telah memberi ruang pelajar dari kursus HSP 3053 Pelaksanaan Pengajaran Sejarah seramai 95 orang, masing-masing diketuai oleh Muhammad Aqua Nafis Mohd Nasir, Pravindraaj A/L Arumugam dan Nur Masitah Roslan, bersama dengan pelajar-pelajar dari beberapa sekolah sekitar Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Tujuan utama program ini adalah untuk memperkenalkan pembelajaran sejarah secara interaktif dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), serta memberikan peluang bermakna kepada pelajar UPSI untuk merasai pengalaman pengurusan aktiviti bersama komuniti, sebagai persediaan kendiri pelajar sebelum menjalankan latihan mengajar pada semester akhir nanti. Inisiatif ini juga melambangkan komitmen UPSI dalam memperkaya kaedah pengajaran sejarah dan mewujudkan akses kerjasama yang kukuh antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah-sekolah di peringkat akar umbi. Program ini juga menekankan dua kaedah pedagogi utama, iaitu Pembelajaran Berasaskan Projek (Project-Based Learning, PBL) dan Pembelajaran Berasaskan Perkhidmatan (PBP) melalui SULAM, yang disokong sepenuhnya oleh kursus HSP3053.

Seiring keperluan semasa, aplikasi AI dalam pengajaran sejarah adalah satu pedagogi yang perlu dikuasai oleh pelajar khususnya bakal guru Sejarah. Kepentingan inovasi melalui audio Ai, video Ai dan grafik Ai dalam proses pengajaran sebagai faktor pendorong utama untuk menarik minat pelajar dalam subjek Sejarah sekaligus mengukuhkan pemahaman mereka terhadap sejarah. Beberapa teknik pengajaran yang Ai yang diperkenalkan termasuklah Teknik Inovasi Ekspedisi Ai dan Teknik Virbo-Ai antara teknik yang merangsang pelajar menganalisis dan mentafsirkan peristiwa sejarah secara interaktif. Pelajar bukan sahaja didedahkan dengan kandungan Sejarah tetapi diberi peluang kepada pelajar untuk menjelajah sejarah melalui pengalaman maya yang imersif.

Semasa dalam kuliah, kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) telah digunakan dalam program ini, di mana pelajar diberi tugas untuk meneroka dan membina naratif sejarah berdasarkan sumber digital dalam kumpulan. Pelajar terlibat secara aktif berdiskusi dalam kuliah untuk menyelidiki dan membangunkan pemahaman sejarah secara mendalam kebolehgunaan inovasi Ai masing-masing. Kaedah ini membolehkan pelajar meningkatkan pemikiran kritis, penyelesaian masalah, dan keupayaan berkolaborasi, seiring dengan prinsip pendidikan abad ke-21 yang menekankan pembelajaran berpusatkan pelajar dengan sokongan teknologi.

 Kemudian, kaedah Pembelajaran Berasaskan Perkhidmatan (PBP) melalui program SULAM pelajar mengaplikasikan ilmu yang dipelajari ke dalam komuniti sebenar. Mereka tidak hanya menjalankan aktiviti pembelajaran sejarah bersama pelajar sekolah, tetapi juga menghasilkan bahan digital dan modul interaktif yang boleh dimanfaatkan oleh guru dan pelajar dalam pengajaran sejarah. Pendekatan ini membantu pelajar memahami kepentingan sejarah dalam konteks kehidupan sebenar serta mengukuhkan kerjasama antara UPSI dan sekolah-sekolah yang terlibat.

Menurut salah seorang guru sejarah yang terlibat dalam program ini, beliau amat mengakui keberkesanan pendekatan ini kerana telah memperkenalkan perspektif baharu dalam pengajaran sejarah. “Kaedah pembelajaran yang digunakan sangat menarik, pada masa yang sama saya yakin perkara ini dapat membantu pelajar memahami sejarah dengan lebih berkesan serta meningkatkan daya fikir mereka,” ujar beliau.

Pelaksanaan Program SULAM ini menandakan kejayaan model pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan dengan menggunakan teknologi dalam meningkatkan motivasi dan kefahaman kognitif pelajar terhadap sejarah. Program ini memberi ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan teori pengajaran dalam kuliah yang dipelajari dalam situasi sebenar. Perkara ini jelas memperlihatkan betapa pentingnya pendidikan praktikal dalam membentuk generasi pendidik masa hadapan. Dengan sokongan dan kerjasama strategik antara UPSI dan sekolah-sekolah terlibat, program ini diharapkan dapat diteruskan dan diperkukuhkan pada masa akan datang untuk memartabatkan pendidikan sejarah di sekolah-sekolah. Tindakan ini sejajar dengan aspirasi pendidikan abad ke-21 yang mengutamakan pembelajaran interaktif kalis masa depan yang berasaskan teknologi dan berpusatkan pelajar.