Oleh: Dr.Jamilah Mohd Basir dan Dr. Shakila Che Dahalan
Kuala Lumpur, 21 Januari 2025 – Dalam usaha memperkukuh profesionalisme keguruan dan memastikan para pendidik sentiasa relevan dengan cabaran pendidikan semasa, Sekolah Swasta Sri Bestari telah menganjurkan sesi Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bertemakan “Pendidikan Kalis Masa Hadapan”. Program yang berlangsung pada 21 Januari 2025 ini melibatkan penyertaan seramai 100 orang guru daripada peringkat tadika, sekolah rendah, dan menengah.

Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran profesional guru-guru, bukan sahaja dalam aspek pedagogi tetapi juga pengurusan pendidikan. Ia turut mencerminkan komitmen pihak pengurusan sekolah untuk memperkasa kualiti pengajaran serta menyediakan platform pembelajaran yang lebih holistik bagi para pelajar bagi sesi baru 2025. Latihan ini dikendalikan oleh tiga orang pensyarah jemputan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), iaitu Dr. Shakila Che Dahalan, Dr. Jamilah Mohd Basir, dan Dr. Sakinah Salleh. Setiap pensyarah bertanggungjawab mengendalikan sesi yang fokus kepada isu-isu semasa dan memberikan pendekatan terkini dan praktikal kepada para guru
Dr. Shakila Che Dahalan, yang merupakan pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan, telah mengendalikan sesi yang dikhususkan kepada guru-guru sekolah menengah. Fokus utamanya adalah pada penerapan inovasi dalam pengajaran, terutama dalam penggunaan pendekatan interaktif dan integrasi teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dalam pembelajaran. Antara teknik yang diperkenalkan termasuk penggunaan aplikasi pintar untuk meningkatkan penglibatan pelajar dan mendorong mereka menjadi lebih kreatif dalam pemahaman subjek seperti Sejarah.

Bagi guru-guru tadika dan sekolah rendah, sesi latihan telah disampaikan oleh Dr. Jamilah Mohd Basir dari Fakulti Pembangunan Manusia. Ceramah beliau menumpukan kepada strategi penglibatan murid dalam bilik darjah. Dr. Jamilah menekankan bahawa pembelajaran yang berkesan memerlukan penglibatan aktif pelajar. Perkongsian pelbagai kaedah menarik seperti penggunaan bahan bantu mengajar yang interaktif, aktiviti kreatif yang sesuai dengan tahap perkembangan murid, dan teknik pengajaran yang dapat merangsang interaksi dinamik antara guru dan pelajar.
Sementara itu, Dr. Sakinah Salleh, yang juga merupakan Pengarah Ulul Albab di UPSI dan seorang kaunselor berdaftar, memberi ceramah tentang pengurusan kesihatan mental guru. Dalam sesi beliau, Dr. Sakinah menekankan pentingnya menjaga kesejahteraan mental guru sebagai elemen penting dalam mencapai keberkesanan pengajaran. Panduan yang diberikan termasuk mengenal pasti tanda-tanda awal keletihan mental, teknik pemulihan seperti meditasi dan relaksasi, serta kaedah pengurusan masa yang lebih bijak untuk mengurangkan tekanan kerja.

Latihan ini telah memberikan impak positif kepada para guru, dengan kebanyakan mereka menyifatkan program ini sebagai satu inisiatif yang tepat pada masanya. Pendedahan kepada pendekatan terkini dalam pengajaran serta penekanan terhadap kesejahteraan mental telah membuka ruang kepada para guru untuk memperbaiki amalan mereka di dalam bilik darjah. Menurut salah salah seorang peserta Pn Yeoh Lui, latihan ini membantu memberikan perspektif baharu dalam menangani cabaran pendidikan masa kini. “Sesi ini memberikan saya motivasi baru dan cara untuk memperbaharui cara pengajaran agar lebih menarik dan berkesan, saya sangat menghargai bengkel seperti ini,” katanya semasa sesi refleksi.
Penganjuran program ini membuktikan komitmen Sekolah Swasta Sri Bestari dalam memastikan para guru sentiasa bersedia menghadapi perubahan dalam dunia pendidikan yang semakin dinamik. Usaha ini juga menunjukkan keprihatinan pihak sekolah terhadap keperluan profesionalisme guru, yang seterusnya akan memberikan manfaat kepada para pelajar.

Kerjasama strategik dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) adalah langkah proaktif dalam memastikan kualiti latihan yang ditawarkan sejajar dengan standard pendidikan terkini. Melalui inisiatif ini, Sekolah Swasta Sri Bestari bukan sahaja memperkukuh keupayaan tenaga pengajarnya, malah turut mencipta suasana pembelajaran yang lebih holistik, dinamik, dan berkualiti tinggi. Sebagai institusi yang komited terhadap kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah, Sekolah Swasta Sri Bestari percaya bahawa guru yang kompeten dan sejahtera mampu membentuk generasi pelajar yang cemerlang, bukan sahaja dalam aspek akademik tetapi juga dalam pembinaan sahsiah dan nilai-nilai murni.