Oleh: Muhd Zahid & Diana Ramli

Pulau Pangkor, 11 Januari 2025 – Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (UPSI) telah menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Badan Pelajar yang berlangsung dari 9 hingga 11 Januari 2025 di Pangkor Purnama Beach Resort. Program ini dijalankan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Bengkel ini turut disertai oleh Puan Maskana Ahmad, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Encik Asyraf Radzwan, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, yang menekankan pentingnya kerjasama antara badan pelajar dalam mempertingkatkan kualiti pengurusan dan pengalaman pelajar.

Bertujuan untuk membina keperibadian yang positif, meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta memperkukuhkan hubungan antara badan pelajar dan pengurusan universiti, bengkel ini menawarkan pelbagai aktiviti termasuk latihan fizikal, sesi refleksi diri, permainan berpasukan dan ceramah motivasi yang memberi kesan jangka panjang kepada para peserta.


Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah sesi ‘ice breaking’, aktiviti berkumpulan seperti ‘water confidence’ serta ceramah motivas dan kewangan yang disampaikan oleh Puan Noriah Serbaini, Penolong Akauntan, Unit Pembayaran.


Menurut peserta program, Ahmad Muhammad Jasmi, “Program ini amat bermakna. Ia memberi peluang kepada badan pelajar untuk saling mengenali dan membina kerjasama, serta memberi pengalaman baru seperti aktiviti snorkeling.”

Bengkel Pemerkasaan Badan Pelajar 2025 diharap dapat meningkatkan tahap profesionalisme dan kemahiran dalam pembangunan badan pelajar, di samping mempereratkan hubungan dan semangat berpasukan antara persatuan dan kelab di UPSI.