Oleh: Arissa Hasya Auni
Tanjong Malim, 27 Januari 2025– Penolong Jurutera JA5, Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Mohd Shaharuddin Ahmad menepati ramalan awal apabila menjadi Juara Keseluruhan Kejohanan Boling Amatur UPSI ke-95 yang berlangsung pada hari ini bertempat di UPSI Sports Bowl.

Melalui Pertandingan Tenpin Boling Apresiasi Alumni (TASTE) Khas – Friendly Games yang menghimpunkan 12 orang pemain, Shaharuddin mendapat 436 jatuhan pin seterusnya berjaya mengangkat kumpulannya, LYSAS sebagai Juara Kumpulan (1089 jatuhan pin) bersama-sama rakan sepasukan iaitu Akmalhijaz Mohd dan Amsyar Anas Akmalhijaz. Beliau turut bergelar Juara bagi Individu Lelaki selain Juara bagi Pusingan 1 dengan mendapat 170 jatuhan pin.

Naib Juara Individu Keseluruhan dimenangi oleh Ahmad ’Afif Afnan dengan 387 jatuhan seterusnya membantu pasukan PAPAYA menjadi Naib Juara dengan 1034 jatuhan pin keseluruhan. Ahmad ’Afif juga muncul sebagai Naib Juara Individu Lelaki dan Juara Pusingan 3 dengan 146 jatuhan pin. Ahli pasukan lain yang ialah Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain dan Ahmad Hasif Naufal. Ahmad Janatul berjaya menduduki Tempat Kelima Individu Keseluruhan (358 jatuhan pin).

Tempat Ketiga Individu Keseluruhan pula menjadi milik Akmalhijaz dengan mendapat 367 jatuhan pin. Akmal memenangi Tempat Ketiga Individu Lelaki selain mendapat Jatuhan Pin Tertinggi Pertandingan dengan 173 jatuhan pin. Beliau turut memenangi Juara Pusingan 2 melalui jumlah jatuhan yang sama.

Mohd Fahemi Ahmad Nordin berjaya menempatkan diri di Tempat Keempat Individu Keseluruhan dengan 365 jatuhan pin. Fahemi daripada kumpulan BABYFACE bersama Nur Aini Zulkepli dan Nur Assyakinah Sofuan turut membawa pasukannya mendapat Tempat Ketiga Berkumpulan. Assyakinah berjaya menjadi Juara Individu Wanita (354 jatuhan pin) manakala Aini mendapat Tempat Ketiga Individu Wanita (260 jatuhan pin).

Kumpulan Meteor yang terdiri daripada Dr Mohd Hishamuddin Abdul Rahman, Aliaa Husna Zainuddin dan Zaihasra Che Ros membawa pasukan mereka menduduki Tempat Keempat. Zaihasra berjaya menjadi Naib Juara Individu Wanita dengan 345 jatuhan pin manakala Aliaa mendapat hadiah istimewa tajaan Akmalhijaz dan juga Anugerah Jatuhan Pin Bertuah.
Sementara itu, Anugerah Khas TASTE Friendly Games (Tajaan S) menjadi milik Ahmad Janatul Firdaus. Hadiah Teka TASTE pula dimenangi oleh Aini manakala Anugerah Team Paling Pantas (Tajaan John) dimenangi oleh METEOR. Amsyar diumumkan sebagai penerima Anugerah Pemain Paling Karen (Tajaan Fahemi Champ).

Sesi penyampaian hadiah disempurnakan oleh Dr Mohd Hishamuddin Abdul Rahman, Ketua Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META). Antara hadiah lain yang disampaikan ialah Anugerah Ranking yang mendapat tajaan CRZ-Aliaa selain Piala Pusingan Jaguh Kejohanan Boling Amatur UPSI.
Sepanjang pertandingan, penyampaian medal kepada peserta yang mencatatkan jatuhan strike telah dibuat secara langsung. Antara mereka yang mencatatkan jatuhan strike terbanyak termasuklah Ahmad Janatul (6 strikes), Assyakinah (5 strikes) Akmalhijaz, Ahmad ’Afif Afnan (5 strikes), Shaharuddin, Zaihasra, Amsyar (4 strikes) dan Ahmad Hasif Naufal, Dr Hishamuddin (3 strikes).
Pengasas Kejohanan Boling Amatur UPSI, Ahmad Janatul Firdaus berkata pertandingan ini dianjurkan atas permintaan pemain boling amatur yang berhasrat untuk diadakan pertandingan secara persahabatan bagi mengeratkan hubungan bekas Alumni Kejohanan dan para tetamu jemputan.
Untuk rekod, TASTE Friendly Games merupakan siri ke-95 dalam penganjuran Kejohanan Boling Amatur UPSI. Kejohanan ”lejen” ini merupakan satu platform pertandingan pemain boling amatur sejak tahun 2002 kekal diadakan sehingga ke hari ini.
TASTE diwujudkan dengan tujuan meneruskan momentum penganjuran pertandingan boling dalam Kejohanan Boling Amatur UPSI. TASTE juga merupakan satu cara penganjuran program secara ad hoc yang tidak memerlukan persiapan mega dan boleh dianjurkan bila-bila masa tanpa memikirkan aspek imbuhan sebagai perkara utama sebaliknya pertandingan yang lebih diutamakan.
“Atas tiket Alumni Kejohanan, TASTE dianjurkan bagi menjemput mana-mana Alumni untuk menyertai pertandingan termasuk boleh menjemput tetamu Alumni untuk menyertai pertandingan ini” kata Ahmad
TASTE membuka ruang yang sangat luas untuk Kejohanan Boling Amatur UPSI dianjurkan dari semasa ke semasa agar tidak lagi tertakluk kepada pertandingan melibatkan hos tempat pengasas berkhidmat yang mungkin sukar diadakan dengan kadar kerap.
”Edisi Apresiasi Alumni Kejohanan Boling Amatur UPSI ini merupakan pertandingan yang mula diperkenalkan pada 29 Oktober 2023. Kini TASTE memasuki penganjuran ke-55,” kata Ahmad ketika mengakhiri perbualan.
