Kanak-kanak TADIKA BITARA, NCDRC bergambar bersama tetamu kehormat

Oleh: Dr. Intan Farahana Abdul Rani

18 Januari 2025, UPSI- Majlis Penyampaian Sijil Kecemerlangan diadakan dengan tema nostalgia, Back to 2000 bagi meraikan kanak-kanak TADIKA BITARA, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Acara gilang-gemilang ini berlangsung di Panggung Percubaan UPSI, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, bermula seawal jam 9.00 pagi.

Majlis ini memberi penghargaan kepada kanak-kanak TADIKA BITARA atas pencapaian cemerlang mereka sepanjang berada di institusi pendidikan awal ini. Dengan kehadiran tetamu kehormat dan ibu bapa yang teruja, suasana diwarnai dengan gelak tawa dan senyuman, melambangkan kebanggaan terhadap kejayaan anak-anak kecil ini.

Acara dimulakan dengan sesi pendaftaran pada jam 9.00 pagi, diikuti ketibaan tetamu kehormat pada 9.30 pagi. Pada jam 9.45 pagi, majlis diserikan dengan kata aluan daripada pengacara majlis. Rasa cinta terhadap negara pula diluahkan melalui nyanyian lagu Negaraku dan lagu Negeri Perak, diikuti dengan lafaz ikrar, bacaan doa, dan bacaan ayat suci Al-Quran.

Salah satu detik istimewa adalah ucapan daripada wakil kanak-kanak, yang menunjukkan keyakinan diri luar biasa di usia muda. Persembahan kanak-kanak daripada tiga peringkat umur 4 tahun, 5 tahun dan 6 tahun turut mencuri perhatian para hadirin. Persembahan ini tidak hanya memaparkan kreativiti, malah menjadi bukti dedikasi guru-guru TADIKA BITARA dalam membimbing anak-anak generasi masa depan.

Selain itu, tayangan montaj aktiviti kanak-kanak 6 tahun mengimbau kembali kenangan manis mereka sepanjang berada di TADIKA BITARA. Setiap wajah riang dan tawa yang ditampilkan menjadi bukti pengalaman bermakna yang telah mereka lalui.

Kemuncak majlis adalah penyampaian sijil kecemerlangan kepada kanak-kanak 6 tahun. Ucapan aluan daripada perasmi majlis menambah lagi aura kemeriahan dan inspirasi kepada semua yang hadir. Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu Ibu Kandung Suluh Budiman, simbolik kepada peranan UPSI sebagai gedung ilmu yang terus menerangi masa depan generasi muda.

Tahniah diucapkan kepada semua kanak-kanak TADIKA BITARA atas  kecemerlangan yang ditunjukkan. Majlis ini bukan sahaja meraikan pencapaian mereka, tetapi juga menanam harapan agar mereka terus berjaya hingga ke menara gading. Semoga kejayaan ini menjadi langkah pertama dalam perjalanan hidup yang gemilang untuk anak-anak kecil ini. Syabas juga diucapkan kepada NCDRC dan UPSI atas usaha berterusan dalam membimbing generasi pewaris negara.