Oleh: Shahaniza Shamsuddin Penolong Pendaftar Kanan, NCDRC
Kuala Terengganu, 21 Januari 2025 –Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) mengadakan kunjungan hormat ke Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bagi membincangkan strategi dan peluang pengkomersilan pangkalan data kanak-kanak kebangsaan (National Child Data Centre – NCDC) versi 2.0 kepada agensi. Kunjungan ini diketuai oleh Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa dan disambut mesra oleh Pengarah YPKT, Ahmad Faris Abdul Razak di Ibu Pejabat YPKT, Kuala Terengganu.
Dalam pertemuan ini, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama dalam memperkasa pangkalan data kanak-kanak di bawah seliaan NCDRC serta inisiatif strategik yang boleh diketengahkan untuk manfaat komuniti setempat. Selain itu, Perbincangan turut merangkumi peluang pengkomersialan produk inovatif NCDRC iaitu National Child Data Centre (NCDC) Insight+, di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).
NCDC Insight+ merupakan satu platform digital yang ditambahbaik dalam NCDC 2.0 bagi memantau dan menganalisis perkembangan kanak-kanak secara sistematik dan bersepadu. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara NCDRC dan YPKT dalam usaha mempertingkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak serta menyokong pembangunan holistik kanak-kanak di Terengganu.

Menurut Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, NCDC Insight + dapat membantu YPKT dalam menyediakan data yang lebih komprehensif dan tepat mengenai perkembangan kanak-kanak, sekaligus membolehkan perancangan intervensi yang lebih efektif dan berfokus.
Sementara itu, Ahmad Faris menyambut baik usaha ini dan menyatakan keyakinan bahawa penggunaan NCDC Insight+ akan memberikan impak positif kepada kepada lebih banyak institusi pendidikan dan agensi kerajaan untuk memanfaatkan teknologi pintar dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak.
“Kami komited dalam memastikan setiap kanak-kanak di Terengganu mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan perkhidmatan sokongan yang menyeluruh dan NCDC Insight+ yang diperkenalkan oleh NCDRC ini dilihat sebagai satu kaedah yang mampu merealisasikan matlamat ini,” ujarnya.
