Oleh: Ahmad Shazwi Ahmad Shukri & Noor Syaibah Shabuddin
Tanjong Malim, 17 Januari 2025– Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuka layar 2025 dengan menganjurkan sebuah program untuk mencetuskan celik akal mengenai gangguan seksual terutamanya di Kawasan kampus. Program yang berfokuskan kesedaran ini telah dijalankan di Dewan Kuliah Pusat 3 dan dihadiri oleh warga UPSI yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UPSI sendiri.
Program berorientasikan diskusi panel ini bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada peserta untuk mengetahui tanda- tanda gangguan seksual supaya Tindakan awal boleh diambil sebagai pencegahan dan membentuk sikap cakna dan peka terhadap bahaya ganggual seksual bagi memastikan Kesihatan mental warga UPSI berada dalam tahap sejahtera. Melalui sesi yang telah dirancang, peserta juga berpeluang mendapatkan input dan isu semasa berkaitan isu gangguan seksual di dalam kampus secara khususnya.
Para penceramah jemputan terdiri daripada golongan profesional dari dalam dan luar UPSI menambahkan elemen intelektual dalam program ini. Penceramah luar yang dijemput ialah mantan Ketua Unit Integriti Universiti Malaya Nor Aishah Samah, manakala penceramah dalaman terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Teras Gangguan Seksual, Prof. Madya Dr. Nurul ‘Ain Hidayah Abas dan Ketua Unit Integriti UPSI, Ilmizan Ismail. Ketiga-tiga panel telah berkongsi idea dan input yang sangat lengkap dan memberikan kesedaran kepada warga UPSI mengenai nahaya gangguan seksual dan kepentingan menanganinya dari peringkat akar umbi.
“Gangguan seksual mungkin kelihatan ringan kepada kebanyakan orang, namun mangsa yang mengalaminya berkemungkinan menghadapi kesan seumur hidup sekiranya tidak dibantu dan boleh mencetuskan kemaslahatan lain seperti penyakit mental dan sebagainya” kata Nor Aishah.


Program ini turut dilengkapi dengan sesi soal jawab di antara peserta dan panel penceramah. Sesi ini telah menarik perhatian kerana jumlah persoalan yang banyak serta persoalan yang dilontarkan menggambarkan situasi sebenar dan pandangan warga UPSI mengenai isu ini. Segala persoalan ini secara tidak langsung menggambarkan input yang telah diperolehi peserta sepanjang program ini berlangsung
Program Talking Taboo: Sexual Harassment in campus ini membuktikan usaha berterusan Pusat Kaunseling UPSI dalam menyediakan program berkualiti yang sesuai dengan perkembangan semasa dan memberikan celik akal kepada warga UPSI dalam usaha mencapai nilai BITARA UPSI.
